BEIRUT – Sekurang-kurangnya 123 orang terkorban dalam serangan Israel ke atas Lubnan sejak Isnin, menurut Kementerian Kesihatan Lubnan lewat Khamis, lapor Anadolu Ajansi (AA).

Kementerian itu berkata seramai 683 orang lagi dilaporkan cedera dalam serangan berkenaan.

Tentera Israel melancarkan siri serangan udara sejak Isnin ke atas sasaran di seluruh negara, termasuk di ibu negara, Beirut, selepas kumpulan Hizbullah menyambung semula serangan terhadap Israel.

Ketegangan itu menyusul selepas serangan besar-besaran Israel-Amerika Syarikat (AS) ke atas Iran yang mengorbankan lebih 900 orang sejak Sabtu, termasuk Pemimpin Agung Ayatollah Ali Khamenei serta pegawai tinggi tentera.

Sebagai tindak balas, Iran melancarkan serangan dron dan peluru berpandu yang menyasarkan Israel serta negara-negara Teluk yang menempatkan aset milik AS.

Israel telah berulang kali melanggar perjanjian gencatan senjata dengan Lubnan yang ditandatangani pada November 2024, dengan melakukan serangan hampir setiap hari yang telah mengakibatkan ratusan kematian dan kecederaan.

Israel memulakan serangan terhadap Lubnan pada Oktober 2023 sebelum konflik memuncak kepada perang berskala penuh pada September 2024, yang telah meragut lebih 4,000 nyawa dan mencederakan sekitar 17,000 orang.-BERNAMA-ANADOLU

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast