Pengerusi Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57), Datuk Zulkarnain Mahdar bercakap kepada media selepas membuat laporan polis di Balai Polis Karamunsing, Kota Kinabalu. Foto MOHD ADZLAN, 26 NOVEMBER 2025.

KUALA LUMPUR – Malaysia akan menjadi lebih kukuh sekiranya Sabah dan Sarawak terus dihormati sebagai rakan kongsi dalam Persekutuan dengan merapatkan semula jurang pembangunan yang melebar sejak sekian lama.

Pengerusi Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57), Datuk Zulkarnain Mahdar berkata, isu Blok Borneo yang hangat dibincangkan dalam kalangan rakyat Sabah dan Sarawak tidak dapat dihalang sekiranya kepentingan mereka terus dipinggirkan.

“Hakikatnya, isu ini timbul apabila wujud rasa tidak puas hati dalam kalangan sebahagian rakyat Sabah dan Sarawak terhadap jurang pembangunan yang masih ketara berbanding negeri-negeri di Semenanjung Malaysia.

“Walaupun Sabah dan Sarawak merupakan negeri yang kaya dengan sumber asli seperti minyak, gas dan pelbagai hasil bumi namun masih terdapat banyak kawasan yang berhadapan dengan cabaran kemudahan asas.

“Ini termasuklah bekalan air bersih, elektrik, infrastruktur jalan raya serta peluang ekonomi yang terhad,” katanya menerusi satu kenyataan kepada MalaysiaGazette.

Semalam, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor menafikan wujudnya Blok Borneo sambil menegaskan, Sabah serta Sarawak kekal sebagai sebahagian daripada Persekutuan Malaysia.

Zulkarnain juga berkata, perbincangan mengenai blok berkenaan timbul sejak kebelakangan ini berpunca daripada rasa kurang senang dalam kalangan rakyat serta sebahagian pimpinan negeri terhadap isu pembangunan dan pembahagian hasil.

“Ia berkait rapat dengan semangat Malaysia Agreement 1963 (MA63) khususnya berkaitan tuntutan Sabah terhadap hak 40 peratus hasil negeri termasuk daripada sumber minyak dan gas.

“Sebarang perbincangan mengenai kerjasama antara Sabah dan Sarawak harus dilihat sebagai satu refleksi kepada aspirasi rakyat.

“Mereka mahukan pembangunan lebih seimbang serta penghormatan terhadap hak-hak yang dipersetujui sejak penubuhan Malaysia,” katanya.

Jelasnya, rakyat Sabah dan Sarawak hanya menuntut keadilan pembangunan, pengagihan hasil lebih seimbang serta pelaksanaan lebih menyeluruh terhadap semangat perjanjian yang menjadi asas pembentukan negara ini.

“Perjanjian tersebut merupakan asas kepada pembentukan Malaysia pada 1963 dan menjadi landasan kepada kedudukan Sabah dan Sarawak sebagai rakan kongsi dalam Persekutuan.

“Malaysia akan terus kukuh sekiranya semua pihak sama ada Kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri serta pimpinan politik dapat bekerjasama secara matang dan konstruktif.

“Ia bagi memastikan pembangunan Sabah dan Sarawak bergerak seiring dengan negeri-negeri lain di negara ini,” katanya.

Katanya lagi, perpaduan negara tidak akan terjejas sekiranya suara rakyat Sabah dan Sarawak didengari.

“Malaysia akan menjadi lebih kuat apabila setiap wilayah merasakan mereka dihormati, dihargai dan mendapat manfaat pembangunan secara adil dan seimbang dalam Persekutuan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast