MELAKA – Pemergian Allahyarhamah Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali merupakan satu kehilangan besar buat negara yang dikenang bukan sekadar sebagai isteri kepada negarawan tetapi sebagai tokoh dan doktor perubatan yang menabur bakti sepanjang hayatnya.
Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, jasa allahyarhamah dalam bidang kesihatan awam khususnya kebajikan ibu dan anak, pembangunan wanita, kesejahteraan keluarga serta kerja-kerja kemasyarakatan akan terus terpahat dalam ingatan rakyat.
“Sebagai antara wanita Melayu terawal yang menceburi bidang perubatan, perjalanan hidup allahyarhamah menjadi bukti bahawa ilmu yang disertai keikhlasan dan pengabdian mampu meninggalkan jejak yang panjang dalam kehidupan manusia.
“Jasa dan kelembutan budi allahyarhamah akan terus dikenang oleh rakyat Malaysia, khususnya generasi wanita yang menjadikan perjuangan beliau sebagai sumber inspirasi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ab Rauf mewakili kepimpinan serta seluruh Kerajaan Negeri Melaka turut menzahirkan ucapan takziah kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan seluruh keluarga atas pemergian isteri tercinta di Institut Jantung Negara (IJN) pagi ini.
Terdahulu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan Kerajaan Madani akan memberikan taraf Istiadat Pengebumian Pembesar Negara kepada Allahyarhamah, yang meninggal dunia pada usia 100 tahun di IJN pukul 9.20 pagi tadi.
Jenazah allahyarhamah dijadual dikebumikan di Pusara Negara, Presint 20, Putrajaya petang ini. – MalaysiaGazette















