Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR – Tindakan segera perlu diambil terhadap mana-mana pihak yang cuba menjatuhkan kerajaan bagi memastikan kestabilan politik tidak terjejas, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata usaha untuk menggugat kestabilan politik melalui penggunaan media atau pengaruh pihak luar tidak seharusnya dibiarkan berlarutan.

“Tidak seharusnya kestabilan politik tergugat disebabkan oleh seseorang yang merasakan media dan pihak luar boleh digunakan untuk merosakkan kestabilan politik di negara kita,” katanya.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata demikian selepas menghadiri Sesi Pertemuan Timbalan Perdana Menteri Bersama Warga Pengurusan Tertinggi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda), di sini hari ini.

Beliau berkata perkara itu kini sedang disiasat oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM), dan semua pihak wajar memberikan ruang kepada agensi penguat kuasa berkenaan untuk menjalankan siasatan secara menyeluruh.

“Jadi kita serahkan kepada pihak berkuasa untuk melakukan siasatan sebagaimana yang disebutkan oleh Ketua Polis Negara serta kenyataan yang dikeluarkan oleh Perdana Menteri sebelum ini,” katanya.

Selasa lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mendedahkan terdapat cubaan untuk menjatuhkan kerajaan yang didakwa didukung oleh warga tempatan dengan memanfaatkan pengaruh media dan institusi antarabangsa termasuk melibatkan kelompok Zionis terkemuka.

Anwar berkata siasatan awal PDRM juga mendapati gerakan berkenaan berpangkalan di luar negara dan mempunyai dana besar bagi merancang strategi untuk mempertikai dan menggugat kerajaan sedia ada.- BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast