KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu, lembaga pengarah SRC International Sdn. Bhd. mengikut arahan Datuk Seri Najib Razak berdasarkan kuasanya terhadap syarikat itu selain kepercayaan mereka bahawa arahan yang dikeluarkannya demi kepentingan negara.
Bekas Pengarah SRC International, Tan Sri Ismee Ismail berkata, Najib pada masa material memegang tiga peranan iaitu Penasihat Emeritus SRC, Perdana Menteri dan Menteri Kewangan.
Ujar beliau, Najib juga merupakan pemegang saham tunggal SRC melalui Kementerian Kewangan.
Oleh yang demikian, menurut Ismee, 61, lembaga pengarah bertindak mengikut resolusi pemegang saham dan tidak boleh membuat keputusan yang membelakanginya.
Bekas pengarah itu memberi keterangan sebagai saksi pihak ketiga dalam perbicaraan kes saman SRC International dan Gandingan Menteri Sdn. Bhd. terhadap Najib bagi menuntut satu pengisytiharan bahawa bekas Perdana Menteri bertanggungjawab ke atas RM42 juta wang yang didakwa diseleweng.
Ia menuntut ganti rugi atas penerimaan dengan pengetahuan, bantuan secara tidak jujur, salah laku dalam jawatan awam serta penyalahgunaan kuasa.

Terdahulu, ketika ditanya oleh peguam SRC International, Lee Suan Chui, Ismee berkata, Najib memegang `tiga topi berbeza’ pada masa material.
Ismee juga bersetuju dengan saranan Suan Chui bahawa tindakan lembaga pada masa itu adalah selaras dengan memorandum dan artikel persatuan (M&A) SRC yang memberikan kuasa tertinggi kepada peranan beliau sebagai penasihat emeritus.
Peguam merujuk kepada Perkara 117 M&A yang menyatakan bahawa penasihat emeritus hendaklah menasihati lembaga mengenai perkara-perkara penting dan perkara-perkara yang mempunyai kepentingan strategik kepada Malaysia.
Selain itu, lembaga berkenaan perlu memberi pertimbangan sewajarnya dan melaksanakan apa-apa nasihat yang diberi.
Ismee adalah seorang daripada enam bekas pengarah SRC yang dimaksudkan Najib sebagai pihak ketiga dalam saman untuk mendapatkan semula RM42 juta yang didakwa diselewengkan daripada akaun syarikat itu.
Najib bagaimanapun menegaskan Ismee dan yang lain, iaitu Shahrol Azral Ibrahim Halmi, Datuk Suboh Md Yassin, Datuk Mohamed Azhar Osman Khairuddin, Datuk Che Abdullah@Rashidi Che Omar dan Nik Faisal Ariff Kamil harus berkongsi tanggungjawab untuk sebarang ganti rugi yang perlu dibayar kepada plaintif.
Peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah mengetuai pasukan peguam mewakili Najib manakala How Li Nee mewakili Ismee.
Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Raja Ahmad Mohzanuddin Shah Raja Mohzan bersambung 16 Mac ini. – MalaysiaGazette
















