TAWAU – Seorang lelaki warga asing ditahan polis selepas disyaki terlibat dalam aktiviti perjudian dalam serbuan Op Dadu di kawasan tanah lapang Kampung Titingan, Jalan Tawau Lama di Sabah semalam.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, suspek berusia lingkungan 50-an itu ditahan kira-kira 10.05 malam oleh sepasukan anggota dari Balai Polis Tawau.
Menurutnya, polis turut merampas sekeping papan putih bernombor, kepingan daun terup serta wang tunai berjumlah RM68 yang dipercayai digunakan untuk kegiatan perjudian.
“Pemeriksaan lanjut di lokasi turut menemui dua botol plastik mengandungi cecair berwarna keperangan yang disyaki air ketum,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, ujian saringan awal air kencing terhadap suspek mendapati lelaki itu positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine.
Kes disiasat di bawah Seksyen 4(1)(c) Akta Rumah Judi Terbuka, Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 30(3) Akta Racun serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
Polis turut menegaskan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam kegiatan perjudian dan penyalahgunaan dadah. – MalaysiaGazette
















