Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil hadir menyerahkan kit Ramadan kepada pengunjung pada Kempen Internet Selamat di Bazar Ramadan 2026 IWK Eco Park, Lembah Pantai. Foto SADIQ SANI, 07 MAC 2026.

KUALA LUMPUR – Kempen Internet Selamat edisi Ramadan akan diperluaskan pelaksanaannya ke bazar Ramadan di seluruh negara bagi meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai penggunaan internet secara berhemah dan selamat.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, pendekatan itu  bertujuan mendekati masyarakat secara lebih langsung, khususnya di lokasi tumpuan orang ramai sepanjang bulan Ramadan.

Jelasnya, kempen itu juga bagi mendidik orang ramai mengenai risiko di dunia siber dan selain menekankan peranan ibu bapa dalam memastikan keselamatan anak-anak ketika menggunakan internet.

“Kita akan mengaktifkan program Kempen Internet Selamat edisi Ramadan di beberapa lokasi bukan hanya di Kuala Lumpur tapi di seluruh negara.

“Hasratnya adalah untuk memberi kesedaran kepada pengunjung di semua bazar Ramadan tentang keperluan untuk mereka sentiasa amalkan budaya untuk memastikan mereka dan keluarga mereka selamat bila menggunakan internet.

“Kita dapati pada hari ini, dalam pelbagai platform media sosial, ramai yang menjadi mangsa buli siber, scam, pedofilia, terutama mereka yang tidak mempunyai tahap literasi digital yang tinggi.” katanya.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil bergambar bersama kakitangan MCMC pada Kempen Internet Selamat di Bazar Ramadan 2026 IWK Eco Park, Lembah Pantai. Foto SADIQ SANI, 07 MAC 2026.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas melancarkan program Kempen Internet Selamat edisi Ramadan di Bazar Ramadan IWK Ecopark, di sini hari ini.

Tambah Fahmi, berbeza pada tahun lalu yang memberi tumpuan kepada sekolah, kempen tahun ini diperluas kepada komuniti termasuk persatuan penduduk, Jawatankuasa Rukun Tetangga serta institusi masjid dan surau.

Selain itu, program kesedaran berkenaan turut dilaksanakan melalui 1,099 Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) bagi memastikan mesej keselamatan internet sampai ke peringkat akar umbi.

Dalam masa sama, kerajaan juga merancang melaksanakan had usia minimum 16 tahun bagi pembukaan akaun media sosial baharu menjelang pertengahan tahun ini sebagai langkah perlindungan kepada golongan kanak-kanak. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast