KUALA LUMPUR – Kerajaan memberi jaminan perkhidmatan internet di Malaysia kekal stabil dan terkawal meskipun timbul kebimbangan mengenai gangguan susulan ketegangan yang berlaku di Asia Barat ketika ini.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, pihak kerajaan akan sentiasa memantau sebarang ancaman keselamatan siber yang boleh memberi kesan kepada infrastuktur internet negara.
“Pada waktu ini, keadaan perkhidmatan internet di Malaysia adalah baik, terkawal dan tidak berlaku apa-apa perkara masalah yang besar berdasarkan apa yang dilaporkan oleh pihak Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA).
“Kita tidak melihat ada kesan (gangguan) seperti yang dibimbangkan oleh sesetengah pihak tapi pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bersama agensi keselamatan sentiasa memastikan ruang siber kita selamat daripada sebarang pencerobohan atau mungkin niat jahat terhadap negara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas melancarkan program Kempen Internet Selamat edisi Ramadan di Bazar Ramadan IWK Ecopark, di sini hari ini.
Tegas Fahmi lagi, pihaknya tidak akan berkompromi dalam memastikam keselamatan siber negara termasuk daripada ancaman penggodan atau anasir asing. – MalaysiaGazette
















