Setiausaha Politik Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Mohd Razlan Muhammad Rafii (tengah) bersama Presiden Persatuan Usahawan Wawasan Wanita Melayu (Wawasanita), Datin Dr Norli @ Norlaili Alias (kanan) dan Penyelaras Dewan Negeri Sungai Panjang, Datuk Mohd Imran Tamrin meneliti Al-Quran lama yang akan digantikan dengan Al-Quran baharu pada Program Sinar Ramadan di Masjid Ma’muniah, Sungai Besar, Sabak Bernam. Foto MUHAIMIN MARWAN, 7 Mac 2026.

SABAK BERNAM – Al-Quran usang berusia hampir 100 tahun antara 500 naskhah kitab suci umat Islam itu yang bakal dilupuskan menerusi program Pertukaran Al-Quran lama kepada baharu di Masjid Ma’muniah, Sungai Besar di sini, hari ini.

Setiausaha Politik kepada Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Mohd Razlan Muhammad Rafii berkata, ia merupakan satu kempen kesedaran untuk melupuskan al-Quran dengan cara yang betul.

“Kempen ini untuk kita buat pertukaran al-Quran lama kepada baharu. Saya harapkan usaha ini kita akan dapat teruskan.

“Sempena Hari Nuzul Quran ini, kita diminta sekurang-kurangnya baca satu ayat setiap hari. Al-Quran yang buruk itu jangan dibiarkan dan tidak dibaca,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Terdahulu beliau menyempurnakan Program Sinar Ramadan 2026 Penukaran al-Quran Lama ke Baharu, Agihan Kuih Raya dan Bubur Lambuk di Masjid Ma’muniah, Simpang Lima.

Setiausaha Politik Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Mohd Razlan Muhammad Rafii (tengah) bersama Presiden Persatuan Usahawan Wawasan Wanita Melayu (Wawasanita), Datin Dr Norli @ Norlaili Alias (kanan) dan Penyelaras Dewan Negeri Sungai Panjang, Datuk Mohd Imran Tamrin meneliti Al-Quran lama yang akan digantikan dengan Al-Quran baharu pada Program Sinar Ramadan di Masjid Ma’muniah, Sungai Besar, Sabak Bernam. Foto MUHAIMIN MARWAN, 7 Mac 2026.

Turut hadir Penyelaras Dewan Negeri Sungai Panjang, Datuk Mohd Imran Tamrin dan Presiden Persatuan Usahawan Wawasan Wanita Melayu (Wawasanita), Datin Dr Norli@Norlaili Alias.

Selain itu, katanya, inisiatif pertukaran al-Quran lama kepada naskhah baharu perlu dipertingkatkan bagi menggalakkan umat Islam mendekati kitab suci itu.

“Usaha berterusan termasuk program seumpama ini perlu dilakukan bagi memastikan generasi muda terutama kanak-kanak dididik membaca al-Quran sejak awal,” katanya.

Setiausaha Politik kepada Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Mohd Razlan Muhammad Rafii menyampaikan cenderahati kepada penaja pada Program Sinar Ramadan di Masjid Ma’muniah, Sungai Besar, Sabak Bernam. Foto MUHAIMIN MARWAN, 7 Mac 2026.

Tambah beliau, program keagamaan dan kebajikan tidak wajar dipolitikkan kerana matlamat utamanya memberi manfaat kepada masyarakat.

“Ada yang mengatakan program seperti ini dipolitikkan, tetapi pada pandangan saya itu tidak tepat.

“Kita sepatutnya mengetepikan perbezaan politik dan melihat perkara yang baik untuk rakyat,” katanya.

Sementara itu, Dr. Norlaili berkata, inisiatif pihaknya bertepatan dengan sambutan Nuzul Quran dan memberi pendedahan mengenai kaedah pengurusan serta pelupusan al-Quran yang betul.

“Sebelum ini ramai yang hanya menyimpan naskhah al-Quran yang koyak atau rosak kerana tidak mengetahui cara pelupusan yang sesuai.

“Kita berharap program ini dapat diperluaskan ke seluruh negara bukan saja pada Ramadan namun sepanjang masa,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

-TAMAT-

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast