Foto Arkib MG 12 Januari 2023

KUALA LUMPUR – Bekas Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Khairy Jamaluddin menyatakan hasrat untuk kembali menyertai UMNO selepas kepimpinan parti itu membuka ruang kepada bekas ahli yang pernah dipecat untuk kembali ke pangkuan parti.

Menerusi Episod 191 podcast Keluar Sekejap yang bakal bersiaran, Khairy berkata kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang membuka pintu tanpa syarat kepada bekas ahli merupakan satu perkembangan positif.

Menurutnya, peluang tersebut dilihat sebagai ruang terbaik untuk beliau kembali bersama parti yang pernah menjadi platform perjuangan politiknya selama lebih dua dekad.

“Bila sudah diundang begitu, saya dah lama sebut bahawa saya ingin kembali ke UMNO. Saya lihat ini sebagai satu perkembangan yang positif dan peluang yang murni secara peribadi,” katanya.

Terdahulu, Zahid dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa UMNO membuka pintu Rumah Bangsa kepada mana-mana bekas ahli yang pernah dipecat untuk kembali tanpa sebarang syarat sebagai usaha menyatukan semula kekuatan parti.

Artikel berkaitan: 

Beliau berkata langkah itu penting bagi memperkukuh kembali UMNO selepas melalui pelbagai cabaran politik sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Khairy sebelum ini dipecat daripada UMNO pada 23 Januari 2023 susulan didakwa melanggar disiplin parti selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Pemecatan tersebut berlaku ketika UMNO sedang berdepan pergolakan dalaman selepas kekalahan teruk dalam PRU15 yang menyaksikan parti itu hanya memenangi 26 kerusi Parlimen, pencapaian terburuk dalam sejarahnya.

Khairy yang juga bekas Menteri Kesihatan sebelum ini pernah memegang pelbagai jawatan penting dalam kerajaan dan parti, termasuk Menteri Belia dan Sukan serta Ahli Parlimen Rembau selama tiga penggal dari 2008 hingga 2022.

Selepas dipecat daripada UMNO, beliau aktif sebagai penganalisis politik dan pengacara podcast Keluar Sekejap bersama bekas Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan yang turut dikenakan tindakan disiplin parti sebelum ini.

Kenyataan terbaharu Khairy itu sekali gus mencetuskan spekulasi mengenai kemungkinan beliau kembali aktif dalam arena politik arus perdana sekiranya permohonan untuk menyertai semula UMNO diterima oleh kepimpinan parti. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast