JKM membuat penilaian di rumah yang terjejas di Taman Seri Desa (gambar atas) manakala pokok petai berusia 20 tahun menghempap rumah Norazimah pula masih belum dialihkan tengah hari tadi.

KEPALA BATAS – Sebanyak 34 rumah rosak dalam kejadian ribut dan angin kencang yang melanda beberapa kawasan di sekitar Seberang Perai Utara (SPU) di sini, semalam.

Kejadian itu membabitkan rumah penduduk di Kampung Tasik, Kubang Menerung, Taman Seri Menerung dan Taman Seri Desa, namun tiada mangsa dilaporkan cedera.

Antara yang terjejas ialah rumah Norazimah Ibrahim, 43, di Kampung Tasik apabila kediamannya dihempap pokok petai sepanjang kira-kira 30 meter ketika ribut melanda kawasan berkenaan.

Norazimah berkata, ketika kejadian, dia sedang membuat kuih sebagai persediaan berbuka puasa bersama empat anaknya berusia antara lapan hingga 19 tahun sebelum terdengar bunyi kuat seperti guruh dari arah luar rumah.

Norazimah.

“Pada mulanya saya sangka hanya ranting yang jatuh, tetapi rupa-rupanya pokok petai besar tumbang milik jiran berusia 20 tahun telah menghempap rumah kami sekali gus menyebabkan kerosakan pada bahagian bumbung.

“Mak saya nampak pokok itu jatuh perlahan-lahan sebelum mengenai bumbung rumah,” katanya ketika ditemui di rumahnya hari ini.

Turut berdepan situasi sama, Siti Sofiah Khalidan, 32, berkata, kejadian berlaku ketika mereka sekeluarga sedang membuat persiapan memasak untuk berbuka puasa di rumah.

Siti Soffiah.

“Kami sedang memasak untuk persiapan berbuka puasa apabila tiba-tiba pokok pinang tumbang dan menghempap bumbung rumah.

“Mujur tiada yang cedera kerana ketika kejadian, seramai 13 ahli keluarga termasuk anak-anak berada di rumah,” katanya.

Sementara itu, penduduk Taman Seri Desa, Zawiyah Abdullah Sani, 53, berkata, ketika kejadian dia baru selesai menunaikan solat dan sedang berdoa di rumahnya.

“Ingatkan bahagian bumbung depan rumah sahaja yang rosak, tapi bila buka pintu bilik kedua, terkejut tengok semua bumbung syiling tercabut. Syukur kami tidak cedera dan saya anggap apa yang berlaku ini adalah ujian Allah buat kami,” katanya.

Zawiyah.

Terdahulu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bertam, Datuk Seri Reezal Merican menyalurkan bantuan segera kepada semua mangsa ribut yang terlibat dengan kadar RM400 bagi rumah yang mengalami kerosakan teruk manakala RM200 bagi kerosakan ringan.

“Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri akan menyalurkan bantuan tambahan sebanyak RM300 kepada setiap keluarga terlibat manakala Pejabat Daerah SPU juga akan membuat penilaian sebelum memberikan bantuan melalui tabung bencana bagi membantu mangsa melakukan kerja pembaikan rumah masing-masing,” katanya.

Reezal Merican menyampaikan bantuan awal kepada penduduk yang terjejas.

Dalam pada itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tasek Gelugor, Mohd Yazi Taib berkata, pihaknya mengambil masa lebih dua jam untuk memotong dan membersihkan pokok petai yang menghempap rumah berkenaan kerana ia berisiko menyebabkan kerosakan lebih teruk sekiranya kerja pemotongan dilakukan tanpa langkah keselamatan yang rapi.

“Kita menerima maklumat kejadian itu malam tadi namun tidak dapat melaksanakan proses pemotongan kerana faktor keselamatan dan operasi pemotongan diteruskan jam 11.30 pagi tadi dengan kekuatan lapan anggota bomba, namun berdepan cabaran termasuk kedudukan pokok berhampiran kabel elektrik, saiz dahan yang besar serta laluan sempit yang menyukarkan pergerakan jentera ke lokasi,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast