KUALA LUMPUR – Bekas pegawai Datuk Seri Rafizi Ramli, James Chai digesa menyerahkan diri dan memberi kerjasama penuh kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan isu ketirisan dana kerajaan berjumlah RM1.1 billion.
Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos berkata, Chai perlu memberi kepercayaan penuh kepada agensi itu tanpa mengharapkan simpati dan belas ihsan daripada ahli Parlimen DAP dan PKR untuk mempertahankannya.
“James Chai perlu keluar dari tempat persembunyiannya di luar negara dan kembali ke tanahair dengan segera untuk memberi kerjasama penuh kepada pegawai penyiasat jika benar beliau tidak melakukan sebarang salah laku.
“Bekas pembantu Rafizi ketika di Kementerian Ekonomi itu tidak perlu terpedaya dengan naratif pemimpin DAP seperti Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok dan Ahli Parlimen Puchong, Yeo Bee Yin yang cuba menangguk di air yang keruh.
“Berilah kepercayaan sepenuhnya kepada SPRM untuk melakukan siasatan dengan penuh integriti dan profesional,” katanya kepada MalaysiaGazette, hari ini.
Khamis lalu, beberapa ahli Parlimen kerajaan tampil mempertahankan Chai selepas SPRM mengeluarkan notis bagi mengesan keberadaan penganalisis politik itu.
Sebelum ini, Teresa menggesa SPRM agar menilai semula cara siasatan yang dijalankan terhadap Chai bagi mengekalkan keyakinan awam terhadap agensi penguatkuasaan itu.
Sementara itu, Bee Yin membidas dakwaan kononnya Rafizi dan pasukannya mendapat keuntungan peribadi daripada perjanjian dengan syarikat gergasi semikonduktor British, Arm Holdings sambil menyatakan tidak munasabah.
Jamal turut membidas pemimpin DAP yang bersikap dwi standard kerana mempertahankan Rafizi dan pasukan Ahli Parlimen Pandan itu terpalit dengan skandal pelaburan asing.
“DAP jangan jadi talam dua muka, persoalkan tindakan SPRM bila kem Rafizi disiasat, sedangkan tegas apabila melibatkan kem pro-Anwar,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















