JOHOR BAHRU – Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) menafikan dakwaan 91 peratus daripada hasil pendapatan kelab pada 2024 datang daripada sumber awam atau berkaitan kerajaan.
Ketua Pegawai Operasi dan Pengarah Teknikal JDT, Alistair Edwards berkata, dakwaan dalam media sosial itu tidak benar dan tidak berasas malah disalah tafsir terhadap fakta sebenar.
“Walaupun akaun kewangan teraudit JDT menyenaraikan Majlis Sukan Negeri Johor (MSNJ) serta geran atau sumbangan kerajaan, ia hanyalah prosedur operasi standard (SOP) di mana dana disalurkan melalui saluran ini bagi pelbagai tujuan.
“Untuk rekod, semua penajaan sukan daripada syarikat swasta merupakan sebahagian besar daripada 91 peratus yang didakwa dalam kes ini disalurkan melalui majlis sukan (peringkat kebangsaan dan negeri) bagi tujuan pelepasan cukai kepada syarikat-syarikat berkenaan.
“Oleh itu, semua penaja-penaja swasta JDT juga menyalurkan dana penajaan melalui Majlis Sukan,” katanya dalam kenyataan.
Edwards berkata, geran dan sumbangan kerajaan yang diberikan pula adalah khusus untuk pembangunan sukan di peringkat akar umbi, termasuk penganjuran kejohanan remaja serta program pembangunan akar umbi di semua daerah di Johor.
Jelasnya, sebahagian besar dana itu disalurkan kepada Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ) dan juga persatuan bola sepak daerah bagi tujuan tersebut.
JDT ujarnya, menjelaskan bahawa tiada satu pun daripada geran berkenaan digunakan untuk operasi bola sepak kelab.
Tambahnya, ini termasuk perbelanjaan pasukan utama, gaji kakitangan, operasi Akademi JDT mahupun penyelenggaraan aset kelab.- MalaysiaGazette
















