BUKIT MERTAJAM – Pas Pulau Pinang mendesak Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri segera mengambil langkah penyelesaian yang tuntas dan seimbang berhubung isu sebuah kuil berhampiran Hospital Bukit Mertajam di sini.
Ketua Penerangan Pas Pulau Pinang, Muhammad Fawwaz Mohamad Jan berkata, langkah itu perlu bagi meraikan kedua-dua pihak yang terlibat, selain memastikan kepentingan awam tidak terjejas.
Beliau berkata, bagi kes yang melibatkan kepentingan awam seperti kawasan hospital, penyelesaian terbaik perlu dicapai melalui dialog matang selain pertimbangan sewajarnya untuk pemindahan ke tapak yang lebih sesuai dengan penuh penghormatan terhadap penganut agama berkenaan.
“Sehubungan itu, kita mendesak Kerajaan Negeri Pulau Pinang serta Kerajaan Persekutuan agar segera mengambil langkah penyelesaian yang tuntas dan seimbang dengan meraikan kedua-dua pihak yang terlibat.
“Kita juga gesa mereka menjalankan semakan menyeluruh terhadap semua rumah ibadat tanpa kelulusan supaya penyelesaian yang dicapai adil, harmoni serta tidak menjejaskan akses ke Hospital Bukit Mertajam demi kepentingan awam,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Dalam perkembangan sama, Muhammad Fawwaz turut menyuarakan kebimbangan terhadap perkembangan membabitkan perhimpunan di hadapan kuil berkenaan yang didakwa menimbulkan keresahan dalam kalangan masyarakat setempat serta pengguna hospital.
“Situasi itu dilaporkan menyebabkan kesesakan dan gangguan di laluan utama menuju ke hospital termasuk laluan yang digunakan oleh pesakit di unit kecemasan, pelawat serta kakitangan perubatan yang sedang menjalankan tugas.
“Umum mengetahui bahawa hospital merupakan kawasan kritikal yang perlu dipelihara kelancarannya setiap masa. Sebarang aktiviti atau struktur yang boleh menjejaskan akses ke hospital, khususnya ke bahagian kecemasan, adalah sesuatu yang amat membimbangkan.
“Ini kerana keadaan tersebut berpotensi menjejaskan keselamatan serta nyawa pesakit yang memerlukan rawatan segera,” katanya. – MalaysiaGazette
















