KUALA LUMPUR – Seorang pelajar sebuah universiti tempatan maut dipercayai terjatuh dari tingkat empat sebuah kondominium di Cyberjaya, Sepang, semalam.
Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Norhizam Bahaman berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan melalui talian MERS 999 daripada orang awam sekitar jam 2 petang.
Katanya, mangsa merupakan lelaki warga asing berusia 39 tahun ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri di hadapan lobi Tower 3 kondominium itu.
“Bertindak atas maklumat itu, sepasukan anggota dari Balai Polis Cyberjaya bergegas ke lokasi kejadian bagi menjalankan pemeriksaan.
“Hasil pemeriksaan awal mendapati mangsa berada dalam keadaan terbaring di lantai lobi dengan tubuh badan berlumuran darah.
“Siasatan awal mendapati, mangsa dipercayai terjatuh dari tingkat empat unit kediaman yang didudukinya di kondominium tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Norhizam, pasukan dari Jabatan Forensik turut dipanggil ke lokasi bagi menjalankan pemeriksaan lanjut.
“Hasil pemeriksaan di tempat kejadian mendapati tiada sebarang unsur jenayah ditemui dan kes diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut (LMM),” jelasnya.
Beliau juga memaklumkan, mayat mangsa telah dihantar ke Jabatan Forensik dan Patologi Hospital Cyberjaya untuk bedah siasat.
“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi hotline Ibu Pejabat Polis Daerah Sepang di talian 03-87774222 atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan,”ujarnya. – MalaysiaGazette
















