Srikandi Bersatu Johor ingin menegaskan mereka tetap berdiri teguh di belakang kepimpinan Muhyiddin Yassin dalam meneruskan perjuangan parti.

JOHOR BAHRU – Peletakan jawatan enam Ketua Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Johor akan dijadikan sebagai satu proses memperkukuh organisasi dan menyusun semula kekuatan jentera parti di peringkat akar umbi.

Ketua Srikandi Bersatu Johor, Alwiyah Talib berkata, perkembangan tersebut tidak menjejaskan keseluruhan 26 bahagian di Johor dan melihatnya sebagai satu cabaran.

“Srikandi Johor melihat perkembangan ini secara matang dan realistik sebagai sebahagian daripada dinamika biasa dalam perjalanan politik.

“Politik adalah medan perjuangan yang sentiasa melalui fasa perubahan, ujian dan penyesuaian. Kami ingin menegaskan  Srikandi Bersatu Johor tidak gentar dengan cabaran ini.

“Sebaliknya, kami melihatnya sebagai ruang untuk memperkukuh organisasi dan menyusun semula kekuatan jentera parti di peringkat akar umbi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jelasnya, bahagian-bahagian yang terlibat akan distrukturkan semula dengan kepimpinan baharu yang lebih komited, berdaya tahan dan setia kepada perjuangan parti.

Srikandi Bersatu Johor juga ingin mengingatkan, kekuatan sesebuah gerakan politik tidak pernah bergantung kepada bilangan individu yang pergi, tetapi kepada kesetiaan dan keteguhan mereka yang terus kekal berjuang.

Sejarah politik katanya, membuktikan bahawa setiap cabaran yang dilalui dengan semangat yang benar akan menjadikan sesebuah gerakan itu lebih matang, lebih tersusun dan lebih kuat.

“Perjuangan yang kita bina ini bukan untuk individu, tetapi untuk rakyat Malaysia,” tegasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Endau.

Srikandi Bersatu Johor katanya, kekal komited mempertahankan prinsip perjuangan parti yang memperjuangkan kebajikan rakyat, integriti kepimpinan serta masa depan negara yang lebih adil dan sejahtera.

“Kami percaya bahawa ujian yang berlaku hari ini bukanlah titik kelemahan, sebaliknya permulaan kepada kebangkitan yang lebih besar,” ujar beliau.

Srikandi Bersatu Johor katanya, akan terus memperkukuh jentera, memperluas gerakan akar umbi dan memastikan suara wanita terus menjadi nadi kekuatan parti.

“Perjuangan ini tidak akan berhenti. Srikandi Bersatu Johor akan terus mara, lebih tersusun dan lebih kuat daripada sebelumnya. Srikandi akan bersedia menghadapi pilihan raya sepenuhnya,” katanya.

Tambah beliau, Srikandi Bersatu Johor ingin menegaskan mereka tetap berdiri teguh di belakang kepimpinan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam meneruskan perjuangan parti demi agama, bangsa dan tanah air.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast