ALOR GAJAH – Kira-kira 500 anggota Battalion Malaysia (MALBATT) 850-13 yang menyertai misi pengaman di Lubnan dilaporkan berada dalam keadaan selamat meskipun konflik melibatkan Israel dan Iran di Asia Barat semakin memuncak.
Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, MALBATT 850-13 merupakan pasukan terakhir Malaysia yang sedang melaksanakan penugasan di negara itu dengan semua anggota sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) keselamatan yang ditetapkan.
Menurutnya, walaupun situasi di selatan Lubnan kini semakin tegang dan memasuki kancah peperangan, anggota Malaysia yang bertugas di bawah misi tersebut masih berada dalam keadaan selamat berdasarkan laporan semasa.
“Untuk MALBATT memang kita tahu tugas kita ini adalah tahun terakhir kita berkhidmat di sana dan pasukan ke-13 ini melibatkan sekitar 500 anggota.
“Walaupun kita tahu di selatan Lubnan dan juga di negara itu sendiri kini sudah memasuki kancah peperangan, namun setakat ini anggota kita masih selamat dan mereka mempunyai SOP yang ketat bagi memastikan keselamatan sepanjang melaksanakan tugas,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Iftar bersama pekerja pembersihan dan pengamal media di Dewan Kompleks JAPERUN Durian Tunggal di sini, malam tadi.
Adly yang juga Ahli Parlimen Alor Gajah berkata, tugas utama anggota MALBATT di Lubnan adalah bagi menjaga keamanan selain membantu penduduk tempatan serta pelarian yang memerlukan bantuan kemanusiaan.
“Peranan mereka sebenarnya adalah menjaga keamanan bagi mengelakkan peperangan selain melaksanakan misi bantuan kemanusiaan kepada warga Lubnan serta pelarian yang memerlukan,” katanya.
Tambah beliau, penyertaan Malaysia dalam misi itu dilaksanakan di bawah mandat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebagai sebahagian komitmen negara dalam menyokong usaha keamanan di peringkat antarabangsa.
“Hasrat Malaysia adalah untuk bekerjasama dalam menjaga keamanan bukan sahaja dalam negara kita tetapi juga membantu negara lain yang memerlukan.
“Jika misi ini ingin diteruskan pada masa akan datang, ia perlu mendapat mandat baharu daripada PBB,” jelasnya
Terdahulu pada majlis berkenaan, beliau menyantuni dan menyampaikan sumbangan Ramadan kepada media dan 100 pekerja pembersihan yang berkhidmat dalam Parlimen Alor Gajah dan Masjid Tanah. – MalaysiaGazette
















