MANAMA – Syarikat tenaga milik Kerajaan Bahrain, Bapco Energies mengisytiharkan force majeure selepas gelombang serangan Iran yang menyasarkan kemudahan tenaga negara itu.

Dalam kenyataan tersebut, Bapco memaklumkan, pihaknya mengeluarkan notis force majeure terhadap operasi kumpulannya yang terjejas akibat konflik serantau yang sedang berlaku di Asia Barat serta serangan terbaharu ke atas kompleks penapisan minyak miliknya.

Force majeure merujuk kepada sesuatu kejadian yang tidak dapat dielakkan dan di luar kawalan manusia.

“Bapco dengan ini memaklumkan notis force majeure ke atas operasi kumpulan yang terjejas susulan konflik serantau berterusan di Asia Barat dan serangan terkini terhadap kompleks penapisan kami,” menurut kenyataan yang dimuat naik oleh syarikat itu.

Terdahulu, media tempatan melaporkan, serangan yang menyasarkan kemudahan minyak besar di kawasan Al Ma’ameer, menyebabkan kebakaran di kompleks tersebut serta kerosakan material.

Menurut Bahrain News Agency (BNA), kebakaran tercetus selepas serangan yang didakwa dilakukan oleh Iran terhadap sebuah fasiliti di Al Ma’ameer.

“Kebakaran berlaku akibat pencerobohan Iran yang menyasarkan sebuah kemudahan di Al Ma’ameer, dengan kerosakan material dilaporkan namun tiada kemalangan jiwa direkodkan.

“Pihak berkuasa berkaitan telah memulakan operasi memadam kebakaran,” menurut BNA dalam hantaran di platform X. – Agensi

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast