KUALA LUMPUR – Pelan Induk Pasaran Modal (CMP) 2026–2030 mencerminkan usaha kolektif oleh pembuat dasar dan peserta pasaran modal untuk memajukan pasaran modal Malaysia dan menyokong aspirasi negara.
Pengerusi Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) Datuk Mohammad Faiz Azmi berkata, pelan induk itu merupakan pelan yang bercita-cita tinggi di mana pihaknya menyasarkan untuk mengembangkan saiz pasaran modal sebanyak RM1.5 hingga RM2 trilion dalam tempoh lima tahun.
“Ia mencerminkan kepercayaan bahawa kita mempunyai banyak ruang penambahbaikan dan keperluan untuk mengejar, dari segi pertumbuhan,” katanya pada majlis CMP 2026-2030 yang disempurna Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di sini hari ini.
Mohammad Faiz menambah, dengan mengambil kira aspirasi dan megatrend global Malaysia, CMP berlandaskan empat tema luas tetapi saling berkaitan iaitu kerancakan, keterangkuman, kemampanan dan peluang serantau.
Kata beliau, ia akan memanfaatkan pasaran modal Islam Malaysia serta kekuatan kawal selia dan tadbir urus di mana CMP bertujuan untuk meningkatkan dengan ketara penilaian pasaran Malaysia, aktiviti dagangan dan akses untuk syarikat yang ingin mendapatkan modal.
“Kunci kepada matlamat ini adalah mengoptimumkan penilaian pasaran ekuiti serta memperkukuh cadangan nilai untuk bon dan sukuk dalam pasaran modal Malaysia.
“Inisiatif bersasar akan dilaksanakan untuk meningkatkan keterlihatan syarikat awam tersenarai (PLC) berkualiti tinggi melalui inovasi yang lebih besar dan kecekapan modal yang lebih baik, yang membawa kepada penciptaan nilai yang lebih baik,” katanya.

Mohammad Faiz memberitahu, bagi memastikan semua rakyat Malaysia mendapat manfaat secara saksama daripada pertumbuhan negara, CMP bertujuan untuk meningkatkan lantai dengan meluaskan akses kepada produk dan perkhidmatan pasaran modal untuk penciptaan kekayaan jangka panjang.
Menurutnya, usaha itu akan disokong dengan meningkatkan literasi kewangan dengan memanfaatkan teknologi digital untuk keberkesanan.
“Bagi menyokong komitmen pembangunan mampan Malaysia, CMP menyasarkan untuk menggerakkan pembiayaan bagi mitigasi iklim, peralihan, penyesuaian, daya tahan dan hasil sosial yang lebih luas.
“Ini menyokong agenda kemampanan Malaysia dan memperkukuh peranan pasaran modal dalam memajukan memajukan peralihan ke arah sifar bersih dan daya tahan jangka panjang negara.
“Bagi mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai pintu masuk serantau yang dipercayai, CMP akan menyokong pengembangan serantau juara tempatan memudahkan penerbitan produk khusus dan kompetitif yang berasaskan aset asas asing, menarik lebih banyak penyenaraian dan penerbitan bon/sukuk oleh syarikat asing,” katanya. – MalaysiaGazette















