KUALA LUMPUR – Menteri Sumber Manusia merangkap Naib Presiden PKR, Datuk Seri R. Ramanan memberi amaran keras mana-mana individu yang cuba mencetuskan provokasi perkauman di negara ini akan ditangkap dan didakwa mengikut undang-undang tanpa kompromi.
Beliau berkata, kebelakangan ini provokasi yang mencetuskan ketegangan kaum semakin ketara khususnya di media sosial sehingga ada yang berani melakukannya secara terbuka di tempat awam.
Menurutnya, siasatan awal mendapati hanya beberapa individu terlibat dan mereka dipercayai bertindak sebagai ejen provokasi yang dibayar oleh pihak tertentu.
“Kita lihat provokasi melanda khususnya di media sosial sehingga berani dilakukan di tempat awam.
“Ketegangan kaum ini sebenarnya didorong oleh beberapa individu sahaja yang dipercayai dibayar. Siapa yang membayar mereka, nanti kita tentukan,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Ramanan berkata, tindakan tersebut dipercayai bermotifkan kepentingan politik kerana pihak tertentu kini ketandusan isu untuk menyerang kerajaan.
Ini kerana, ujar beliau, keadaan ekonomi negara di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menunjukkan perkembangan positif termasuk kadar pengangguran yang rendah serta pengukuhan nilai ringgit.
“Di bawah pimpinan Perdana Menteri, ekonomi negara menunjukkan prestasi baik. Kadar pengangguran rendah dan nilai ringgit juga antara yang terbaik di rantau Asia.
“Apabila sudah tiada modal politik, ada pihak cuba mencari ‘political mileage’ dengan memainkan isu perkauman,” tegasnya.
Sehubungan itu, Ramanan mengingatkan semua pihak supaya tidak cuba menimbulkan huru-hara atau mengambil tindakan di luar undang-undang.
“Jangan fikir dalam negara ini anda boleh buat sesuka hati. Jika cuba mencetuskan kekacauan, anda akan ditangkap dan didakwa. Jangan ambil undang-undang di tangan sendiri,” katanya.
Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya menggunakan saluran yang betul sekiranya mempunyai sebarang isu atau rasa tidak puas hati.
“Kalau ada isu, ikut saluran yang betul. Buat laporan polis dan biar pihak berkuasa ambil tindakan. Jangan tunjuk samseng,” katanya.
Ramanan turut menegaskan bahawa tindakan provokasi sedemikian juga boleh mencemarkan imej parti dan tidak akan dipandang ringan.
Katanya, perkara tersebut akan dibawa untuk dibincangkan di peringkat Kabinet bagi memastikan langkah sewajarnya dapat diambil. – MalaysiaGazette
















