Zaharah (tengah) dan lima lagi adiknya yang juga OKU lembam gembira selepas menerima rumah baharu daripada Yayasan DMDI pada majlis penyerahan kunci rumah keluarga itu sambil disaksikan Kalsom (dua dari kanan) dan Mohd Ridhwan (kanan) di di Bukit Palah, Melaka hari ini.

MELAKA – Aidilfitri tahun ini menjadi paling bermakna buat enam beradik orang kelainan upaya (OKU) lembam apabil dapat berkumpul semula di bawah satu bumbung selepas rumah baharu yang dibina siap dalam tempoh kurang sebulan.

Sebelum ini, kehidupan mereka terpisah sementara selepas rumah di tanah pusaka keluarga yang didiami di Bukit Palah di sini terpaksa dirobohkan kerana tidak lagi selamat untuk didiami.

Zaharah Bulat, 64, berkata, situasi itu menyebabkan empat adik-beradik lelakinya terpaksa tinggal di dalam khemah berhampiran tapak rumah berkenaan sejak sebulan lalu sementara menunggu rumah baharu itu siap.

Empat beradik lelaki tersebut ialah Sofian, 57, Suhaimi, 55, Shahrin, dan Mohd Khairi 45 manakala Zaharah bersama adiknya, Rape’ah Bulat, 62, pula menumpang sementara di rumah saudara. Keluarga ini mempunyai keseluruhan 11 beradik.

Zaharah (kanan) dan lima lagi adiknya yang juga OKU lembam gembira selepas menerima rumah baharu daripada Yayasan DMDI bernilai RM90,000 di di Bukit Palah, Melaka hari ini.

“Saya rasa sangat gembira dapat rumah baharu kerana sebelum ini risau juga apabila terpaksa menumpang di rumah saudara, manakala adik-beradik lelaki pula tinggal dalam khemah sementara menunggu rumah baharu ini siap.

“Kami rindu kerana tidak dapat berkumpul bersama. Sekarang saya rasa sangat gembira kerana dapat bersatu semula dan menyambut Aidilfitri bersama di rumah baharu,” katanya sebak.

Zaharah berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Penyerahan Kunci Rumah kepada keluarga itu di Bukit Palah, di sini hari ini yang disempurnakan Pengerusi Yayasan Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI), Datuk Mohd Ridhwan Mohd Ali.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Batu, Kalsom Noordin merangkap Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri, Datuk Kalsom Noordin.

Mohd Ridhwan Mohd Ali

Sementara itu, Mohd Ridhwan berkata, pembinaan rumah berkenaan dibiayai oleh DMDI dengan peruntukan sebanyak RM60,000 dan berjaya disiapkan dalam tempoh hanya 16 hari.

Menurutnya, projek itu dilaksanakan dengan kerjasama sebuah syarikat kontraktor yang menawarkan kos pembinaan kira-kira RM90,000 yang mana sebahagian lagi baki RM30,000 adalah tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat itu.

“Pembinaan rumah ini menjadi projek pertama seumpamanya dilaksanakan oleh Yayasan DMDI selepas melihat kesukaran hidup yang dialami enam beradik tersebut.

“Kita ada beberapa program kebajikan, namun kes ini sangat menyentuh hati kerana melibatkan enam orang OKU yang tinggal bersama, terutama ketika Ramadan dan menjelang Hari Raya,” katanya.

Kalsom Noordin

Dalam pada itu, Kalsom berharap kepimpinan kampung akan membantu memantau keadaan mereka supaya mereka tidak kembali kepada rutin lam mengumpul terlalu banyak barang terpakai sehingga menjejaskan kebersihan rumah baharu itu.

“Kita minta pihak komuniti dan kepimpinan kampung memantau keadaan mereka secara berkala supaya rumah ini kekal bersih dan selesa.

“Sebelum ini, rumah lama mereka terlalu banyak barang terpakai sampaikan kita mengambil masa kira-kira tiga hari membuang berbelas-belas tan barangan terpakai yang dikumpul dan berharap ianya tidak berulang lagi,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast