Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin bercakap ketika ditemui pada Majlis Berbuka Puasa Ketua Pembangkang 2026 di Dewan Putra MAKSAK, Putrajaya. Foto SADIQ SANI, 09 MAC 2026.

PUTRAJAYA – Bekas Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Hamzah Zainudin mencabar parti itu memecat pemimpin dan ahli yang masih memberi sokongan kepadanya.

Menurut Ketua Pembangkang berkenaan, tindakan itu lebih baik berbanding menggunakan ugutan sebagai cara mengekang kumpulan yang menyokongnya.

“Ya…sebenarnya kalau yang seeloknya kepada Bersatu, dah macam inilah caranya kan pecat saja mereka ni. Ini yang paling baik.

“Saya rasa pecat saja mereka, jadi tidak susah wartawan pun tak payah tanya saya lagi…senang pecat sahaja, apa yang susah,” katanya ketika ditemui pada Majlis Berbuka Puasa Bersama Ketua Pembangkang di sini, hari ini.

Antara yang hadir pada majlis itu ialah Naib Presiden Bersatu, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee dan Ketua Srikandi, Datuk Mas Ermieyati Samsuddin.

Media semalam melaporkan, Ronald dan Mas Ermieyati telah diberikan surat tunjuk sebab oleh Lembaga Disiplin Bersatu.

Kedua-dua mereka dilihat berada dalam kem Hamzah apabila turut menghadiri Taklimat Hala Tuju dan Reset Politik bersama Ketua Pembangkang itu sehari selepas pemecatannya daripada jawatan Timbalan Presiden Bersatu, 13 Febuari lalu.

Sementara itu, Hamzah yang juga Ahli Parlimen Larut memaklumkan perbincangan masih diteruskan di antara pengasas Parti Keluarga Malaysia (PKM) sebelum mengambil alih parti berkenaan termasuk perkara yang melibatkan perlembagaan parti.

“Sudah tentulah perbincangan kita berpandukan segala perincian. Saya tidak mahu nanti ada benda-benda yang tertinggal.

“Contohnya perlembagaan semasa mereka menubuhkan parti itu, dan beberapa perkara yang saya rasa tidak kena dengan sifat saya sebagai seorang pejuang dalam negara ini,” jelasnya.

Bagaimanapun, beliau berkata proses tersebut akan dimuktamadkan dalam masa terdekat.

Sebagai rekod, Pengasas PKM, Khairi Jaya sebelum ini mengesahkan Ketua Pembangkang itu bakal mengambil alih parti tersebut. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast