PETALING JAYA – Penganjuran kempen ‘Tangkap Azam Baki’ yang digerakkan oleh Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) dan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) mengesahkan pihaknya belum menghantar surat jemputan rasmi kepada Datuk Seri Rafizi Ramli untuk turut serta dalam gerakan mendesak reformasi institusi tersebut.
Setiausaha Agung Muda, Amira Aisya Abd Aziz berkata, kempen itu merupakan satu gerakan besar yang melibatkan soal integriti negara.
Beliau menegaskan, usaha itu seharusnya diperjuangkan oleh semua rakyat Malaysia secara bersama-sama.
“Ia bukan hanya untuk Muda dan Pejuang sahaja. Situasi sekarang sangat getir dan perlu digerakkan secara kolektif,” katanya pada sidang media yang melancarkan kempen itu di pejabat Muda bersama-sama parti Pejuang hari ini.

Menurut Amira Aisya, kempen tersebut akan bermula di platform media sosial dengan memuat naik tuntutan penjelasan daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung kedudukan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.
Isu utama yang dibangkitkan berkaitan dengan laporan media antarabangsa mengenai dakwaan ‘mafia korporat’ yang sehingga kini dilihat masih belum menerima sebarang tindakan nyata daripada pihak Perdana Menteri.
Amira Aisya turut menambah, sejak laporan berita itu tular, tiada sebarang siasatan dilakukan, malah perkembangan jawatankuasa siasatan juga dilihat tidak menunjukkan sebarang kemajuan.
“Kita mahu melihat sejauh mana pemimpin yang dahulunya konsisten menuntut ketelusan akan bersama rakyat dalam isu ini. Kontrak Tan Sri Azam Baki yang dijangka diperbaharui pada Mei nanti menjadi titik tolak penting bagi gerakan ini.
“Kempen ini turut membangkitkan isu integriti dalam SPRM, di mana terdapat dakwaan berlakunya amalan pilih kasih dalam siasatan yang melibatkan pihak yang menentang kerajaan,” katanya lagi.
Terdahulu, Rafizi yang merupakan bekas Timbalan Presiden PKR, dilihat lantang supaya Azam Baki digantung tugas serta-merta bagi membolehkan siasatan secara bebas dan telus dapat dijalankan.
Ia susulan laporan media antarabangsa Bloomberg berkaitan salah laku yang dipercayai dilakukan Azam Baki.
Menurutnya, dakwaan itu adalah serius dan boleh menjejaskan keyakinan rakyat serta pelabur, selain mengingatkan negara pernah melalui krisis besar ketika skandal 1MDB sebelum ini.
Tindakan kerajaan khususnya Perdana Menteri kini diperhatikan rapat oleh rakyat bagi memastikan ketelusan dalam penguatkuasaan undang-undang. – MalaysiaGazette















