Ketua Umno Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos. Foto MUHD NA’IM 29 JULAI 2023.

KUALA LUMPUR – UMNO Bahagian Sungai Besar membidas tindakan pemimpin dan ahli Parlimen DAP dilihat kalut mendesak kerajaan menyiasat Tan Sri Azam Baki kerana isu pemilikan saham yang melebihi had sebagai penjawat awam.

Ketuanya, Datuk Seri Jamal Md Yunos mengingatkan DAP bahawa Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) itu membuat pembelian saham tersebut setelah beliau berpencen, kira-kira tiga tahun lalu.

“Azam Baki ini sudah berpencen kira-kira tiga tahun lepas. Jadi orang yang sudah berpencen dia nak buat apa, nak berniaga, nak beli saham, itu terpulang kepada dialah.

“Tan Sri Azam Baki sudah buat penjelasan pun, tetapi apa yang DAP kalut sangat nak siasat dia? Dia orang berpencen, dia pun tak tahu selepas dia pencen dia disambung balik.

“Jadi saya hairan geng-geng DAP minta dia diberhentikan, disiasat dan macam-macam tindakan,” katanya kepada MalaysiaGazette, hari ini.

Sebelum ini, media antarabangsa Bloomberg mendedahkan Azam memiliki 17.7 juta saham dalam Velocity Capital Partner Bhd berdasarkan pemfailan korporat dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

Pada 25 Februari pula, Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong mendesak kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk menyiasat Azam, sambil mengugut DAP akan keluar kerajaan jika tuntutan tidak dipenuhi.

Jumaat lalu pula, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke memaklumkan mesyuarat bulanan Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) mendesak kerajaan menyiasat ‘mafia korporat’ didakwa menyalahgunakan SPRM untuk kepentingan peribadi.

Jamal juga berkata, bukan satu kesalahan sekiranya seorang penjawat awam yang sudah berpencen membeli saham dan melabur wang simpanan setelah berkhidmat lebih 40 tahun sebagai persediaan hari tua.

“Jadi dia melaburlah lebih daripada yang sepatutnya bila dah dapat duit pencen. Jadi apa salahnya? Orang pencen nak melabur lebih daripada had yang sepatutnya sebagai penjawat awam.

“Apa yang dia buat itu bagi saya tak salah. Azam Baki ini sudah lama pun pencen. Jadi bila dah pencen, dia mestilah merangka apa yang dia nak buat selepas dia pencen,” katanya.

Kata Jamal lagi, desakan pihak tertentu termasuk DAP agar Azam meletakkan jawatan dan isu pemilikan saham itu disiasat sebenar hanya satu helah dan bermotifkan dendam.

“Bagi saya tuduhan-tuduhan kepada Tan Sri Azam Baki selaku Ketua Pesuruhjaya SPRM ini bermotifkan dendam dan ada agenda tertentu,” katanya.

Sehubungan itu Jamal mendesak semua pihak tidak mengganggu Jawatankuasa Khas Siasatan yang diketuai Peguam Negara dalam meneliti itu tersebut.

“Apa yang geng-geng DAP ini nak kecoh sangat. Jadi biarlah dia jaga SPRM di tempat yang sebetulnya dan setinggi-tingginya.

“Jangan dikacau sistem yang sudah ada dalam negara kita,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast