KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menunaikan solat jenazah tokoh ilmuwan dan pemikir agung peradaban Islam, Allahyarham Syed Muhammad Naquib al-Attas di Masjid Al-Taqwa Tan Tun Dr Ismail (TTDI), di sini.
Beliau menyifatkan, pemergian sarjana tersohor itu sebagai kehilangan besar kepada dunia ilmu dan peradaban Islam.
Menurut beliau, Allahyarham yang merupakan seorang Profesor Diraja dan sarjana yang amat dihormati telah menabur bakti besar dalam memartabatkan tradisi ilmu, adab serta tamadun Islam sepanjang hayatnya.
“Saya sempat menyampaikan salam takziah kepada ahli keluarga Allahyarham serta menzahirkan penghargaan terhadap khazanah pemikiran yang amat bernilai yang ditinggalkannya,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Beliau berkata, sumbangan pemikiran allahyarham amat penting khususnya dalam memperkasa kefahaman mengenai konsep ilmu, adab serta peranan Islam dalam membentuk peradaban yang luhur.
“Sesungguhnya jasa dan sumbangan Allahyarham akan terus dikenang dan menjadi sumber inspirasi kepada generasi ilmuwan serta umat Islam dalam meneruskan tradisi keilmuan yang berteraskan hikmah dan nilai,” tambahnya.
Anwar turut mendoakan agar Allah mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarham, mengampuni segala dosa serta menempatkannya dalam kalangan hamba-Nya yang beriman dan beramal soleh. – MalaysiaGazette
















