Seorang lelaki dipercayai penjual rokok haram menyerang pegawai penguat kuasa Majlis Perbandaran Sandakan pada Sabtu lalu.

KUALA LUMPUR – Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57) mengecam sekeras-kerasnya tindakan penjual rokok haram dipercayai menyerang seorang pegawai penguat kuasa di sekitar Pasar Batu 8, Sibuga Jaya, Sandakan, pada Sabtu lalu.

Pengerusinya, Datuk Zulkarnain Mahdar berkata, tindakan tersebut amat serius dan jelas mencabar kewibawaan undang-undang negara.

“Tindakan menyerang anggota penguat kuasa yang sedang menjalankan tugas merupakan satu kesalahan besar dan tidak boleh dipandang ringan.

“Video kejadian yang tular tersebut amat memalukan dan mencalar kewibawaan penguatkuasaan undang-undang di negara ini.

“Tindakan agresif sekumpulan lelaki yang mempertahankan penjual rokok haram terhadap penguat kuasa menunjukkan seolah-olah undang-undang tidak lagi digeruni,” katanya kepada MalaysiaGazette, hari ini.

Pada 7 Mac lalu, seorang pegawai penguat kuasa Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) cedera selepas dipercayai dipukul sekumpulan lelaki ketika membuat rondaan di Pasar Batu 8, Sibuga Jaya, Sandakan, petang Jumaat.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 petang itu, mangsa bersama rakan sekerjanya menjalankan rondaan bagi memantau aktiviti perniagaan dan menegur seorang lelaki dipercayai menjual rokok tanpa cukai secara terbuka di kawasan pasar itu.

Teguran itu bagaimanapun mencetuskan perselisihan faham sebelum berlaku pertengkaran mulut antara mangsa dan beberapa individu, sebelum dia mendakwa diserang beberapa lelaki tidak dikenali.

Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner George Abd Rakman, berkata akibat kejadian itu, mangsa yang berusia 50 tahun lebam di beberapa bahagian badan dan dihantar ke Hospital Duchess of Kent untuk mendapatkan rawatan.

Zulkarnain juga berkata, kejadian itu tidak boleh dibiarkan dan tindakan tegas serta menyeluruh mesti diambil segera bagi memastikan kejadian seumpama ini tidak berulang.

“Individu terbabit bukan sahaja dipercayai menjual rokok haram dan seludup yang menyalahi undang-undang, malah bertindak agresif terhadap pihak berkuasa.

“Keadaan ini memberi gambaran bahawa kegiatan tersebut semakin berani dan tidak lagi takut kepada tindakan undang-undang.

“Situasi ini tidak boleh dibiarkan berterusan kerana ia bukan sahaja merugikan hasil negara, malah mencabar kewibawaan penguatkuasaan undang-undang,” katanya.

Sehubungan itu, Zulkarnain menggesa agar pihak berkuasa tempatan bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengambil tindakan tegas dan segera terhadap suspek yang terlibat.

“Mana-mana pihak yang menyerang anggota penguat kuasa mesti dihadapkan ke muka pengadilan tanpa kompromi.

“Justeru, operasi penguatkuasaan secara besar-besaran dan berterusan perlu dilaksanakan bagi membanteras sepenuhnya kegiatan rokok seludup di Sabah,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast