KUANTAN – Polis Temerloh berjaya memberkas seorang lelaki berusia 42 tahun yang terlibat dalam kes samun bersenjata di sebuah stesen minyak di Kerdau, Temerloh awal pagi semalam.
Menurut Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mohd Nasyim Bahron, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu berlaku kira-kira jam 7.30 petang kelmarin.
“Seorang penjaga kaunter di stesen minyak itu didatangi suspek yang memakai penutup muka. Suspek kemudian mengeluarkan sebilah parang dan mengarahkan mangsa untuk memasukkan semua wang tunai dipercayai kira-kira RM2,000 dalam laci ke dalam beg galasnya.
“Suspek seterusnya melarikan diri menaiki sebuah kereta Proton Persona yang tiada nombor pendaftaran,” katanya dalam kenyataan.
Bertindak atas maklumat yang diperoleh, beliau berkata, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Temerloh berjaya menangkap suspek kira-kira 10 jam selepas kejadian itu.
Polis turut merampas sebuah motosikal Yamaha 135LC, sebuah kereta Proton Persona, beberapa helai pakaian, senjata pisau dan parang, topi keledar, penutup muka serta sejumlah wang tunai yang dipercayai hasil dari kejadian samun untuk tindakan lanjut.
“Hasil tangkapan itu juga, polis berjaya menyelesaikan dua kes samun kedai serbaneka 24 jam serta satu kes samun kedai stesen minyak yang dilaporkan di kawasan Temerloh dalam tempoh 1 Mac sehingga 7 Mac 2026,” katanya.
Mohd Nasyim berkata, suspek yang ditangkap tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau, namun ujian saringan air kencing mendapati positif dadah jenis methamphetamine.
Katanya, suspek kini ditahan reman sehingga 10 Mac bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan. – MalaysiaGazette
















