JOHOR BAHRU – Kerajaan negeri memperuntuk RM12.3 juta bagi menyokong pembangunan serta kesejahteraan komuniti Felda dalam tahun ini.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, ini melibatkan pelbagai bentuk bantuan kepada 73 tanah rancangan tersebut di negeri ini.
Katanya, ini selaras dengan usaha berterusan memastikan kebajikan warga peneroka terus dipelihara dan komuniti tersebut kekal maju serta berdaya tahan.
“Bagi menyemarakkan sambutan Hari Raya Aidilfitri di peringkat tanah rancangan Felda, kerajaan negeri menyediakan geran Aidilfitri berjumlah RM5,000 kepada setiap 73 Felda di negeri ini.
“Kita juga sediakan peruntukan RM10,000 kepada setiap Jawatankuasa Kemajuan Rancangan (JKKR) di 73 rancangan FELDA,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam majlis berbuka puasa bersama komuniti Felda di sini malam tadi yang menghimpunkan hampir 1,500 peserta.
Mereka terdiri daripada ketua blok, kepimpinan rancangan, wakil agensi serta pemimpin komuniti Felda dari seluruh Johor.
Dalam majlis sama, Onn Hafiz turut mengumumkan peruntukan RM5,000 kepada setiap Gerakan Persatuan Wanita (GPW) di 73 rancangan Felda serta geran RM7,500 kepada setiap Pejabat Rancangan Felda di Johor.
Menurutnya, kerajaan turut memberikan sumbangan bakul makanan kepada setiap Ketua Isi Rumah (KIR) yang menetap di rancangan Felda serta kakitangan Felda di Johor serta peruntukan RM200,000 kepada Sekretariat Muafakat Felda Negeri Johor.
“Kerajaan negeri juga akan meneruskan kuota khas haji kepada 10 orang warga Felda yang berhasrat menunaikan ibadah Islam itu.
“Kita juga meneruskan kuota khas Pinjaman Pendidikan Tanpa Faedah Yayasan Pelajar Johor (YPJ) kepada 50 anak muda Felda bagi melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi,” katanya.
Menurutnya, inisiatif tersebut diharap dapat terus menyokong kebajikan komuniti peneroka selain memperkukuh peranan kepimpinan Felda di peringkat akar umbi dalam menyelaras pembangunan serta kesejahteraan masyarakat setempat.
“Kerajaan negeri optimis kerjasama erat antara kerajaan negeri dan Felda akan terus memperkasa komuniti peneroka demi memastikan kesejahteraan serta kemakmuran yang berterusan kepada warga Felda di Johor,” ujarnya.- MalaysiaGazette
















