Ketua AMK Johor, Faezuddin Puad.

JOHOR BAHRU – Rumah ibadah yang dibina tanpa kebenaran sudah wujud sejak sekian lama malah sebelum Datuk Seri Anwar Ibrahim dilantik sebagai Perdana Menteri ke-10.

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Johor, Mohd Faezuddin Puad menjelaskan, ia termasuk isu terbaharu berkaitan perluasan rumah ibadah tidak sah.

Beliau menegaskan, kebenaran itu bukan diberikan Anwar sebaliknya berada di bawah bidang kuasa pihak berkuasa tempatan (PBT) dan pejabat tanah negeri masing-masing.

“Mengapa semua kesalahan ini dibebankan kepada PMX?, Seolah-olah PMX beri kebenaran untuk membina rumah ibadah sesuka hati.

“Seolah-olah semua rumah ibadah tak sah baru dibina sebaik sahaja PMX angkat sumpah. Sedangkan isu ini berlaku di seluruh negara termasuk di Kedah yang diperintah Perikatan Nasional (PN),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Faezuddin turut berkongsi laporan media mengenai ketegasan Perdana Menteri berhubung isu pembinaan kuil tanpa kebenaran mesti ditangani mengikut peraturan dan undang-undang, sama seperti pembinaan masjid, surau atau gereja.

Presiden Ketua Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu dilaporkan berkata, bantahan terhadap pembinaan kuil haram boleh dilakukan, namun perlu dibuat secara berhemah tanpa menimbulkan permusuhan atau hasutan yang boleh menggugat keselamatan negara.

Faezuddin tidak menolak isu berkenaan sengaja dipolitikkan oleh pihak tertentu apabila tumpuan hanya diberikan kepada negeri yang diperintah oleh Pakatan Harapan (PH).

Katanya yang juga Ketua Cabang PKR Pulai, pihaknya bersetuju setuju masalah tersebut perlu diselesaikan segera tetapi harus mengikut undang-undang.

“Serahkan kepada pihak berkuasa untuk ambil tindakan tegas. Kalau nak kritik PBT atau pihak berkuasa yang lambat dan tidak tegas, silakan.

“Tapi jangan sampai melampaui batas sehingga ada pihak mengaku pejuang Islam sanggup mencemuh dan menghina agama serta bangsa lain,” ujarnya.

Beliau turut menegaskan, Islam tidak mengajar umatnya untuk memaki hamun atau menghina agama lain.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast