SEREMBAN – Impian 10 penduduk kategori B40 di Jeram Padang untuk menunaikan umrah akhirnya menjadi kenyataan apabila Naib Ketua Sayap Bersekutu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Sri Sanjeevan Ramakrishnan menaja perjalanan mereka ke Tanah Suci.
Sanjeevan yang juga Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu berkata, usaha tersebut dilaksanakan menerusi ‘Inisiatif Kebersamaan Jeram Padang 2026’ bagi membantu mereka yang belum pernah berpeluang menunaikan ibadah berkenaan.
“Saya mungkin bukan seorang Muslim tetapi saya amat memahami bahawa menunaikan umrah adalah impian yang sangat besar bagi ramai umat Islam.
“Bagi sesetengah orang, ia adalah doa yang dipendam bertahun-tahun lamanya namun sering terhalang kerana kekangan kewangan,” tulisnya dalam Facebook beliau hari ini.
Menurut beliau, atas dasar keprihatinan dan rasa hormat terhadap nilai ibadah tersebut, beliau mengambil keputusan menaja 10 jemaah dari kategori B40 di Jeram Padang yang belum pernah berpeluang menunaikan umrah.
“Bagi saya, ini soal kemanusiaan dan berkongsi rezeki. Jika kita mampu membantu merealisasikan impian seseorang, lebih-lebih lagi impian untuk beribadah, itu antara kebaikan yang paling bermakna dalam kehidupan,” jelasnya. – MalaysiaGazette
















