Bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hadir bagi perbicaraan pertuduhan salah guna kedudukan melibatkan suapan RM232.5 juta dan menerima wang RM200 juta hasil aktiviti haram ketika di Mahkamah Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 09 MAC 2026. (GAMBAR FAIL)

KUALA LUMPUR – Pasukan pembelaan Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mempertikaikan penggunaan rakaman video daripada platform TikTok yang dibangkitkan oleh saksi pendakwaan dalam perbicaraan kes rasuah bekas Perdana Menteri itu di Mahkamah Tinggi di sini.

Perkara itu dibangkitkan peguam, Datuk Amer Hamzah Arshad ketika saksi pertama pendakwaan, Penolong Pegawai Penguat Kuasa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohd Syawaludin Said memberi keterangan mengenai dua rakaman video TikTok itu.

Difahamkan melalui saksi, kandungan video didakwa memaparkan ucapan Muhyiddin berkaitan kemasukan wang ke dalam akaun bank Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Amer Hamzah mempersoalkan kewajaran saksi merujuk kepada rakaman daripada platform media sosial tersebut selain membantah penggunaan istilah ‘rasuah’ ketika saksi menghuraikan kandungan video berkenaan.

Menurutnya, rakaman yang dirujuk tidak menyebut secara jelas perkataan tersebut dan saksi tidak sepatutnya membuat tafsiran sendiri terhadap kandungan video.

“Mahkamah perlu melihat kepada fakta dalam rakaman itu sendiri, bukan interpretasi saksi. Dalam video tersebut tidak ada disebut perkataan ‘rasuah’,” katanya di hadapan Hakim Datuk Noor Ruwena Md Nurdin.

Ketika pemeriksaan balas kemudian, Amer Hamzah turut mempersoalkan sama ada saksi menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti individu yang memasukkan kapsyen, tanda pagar serta lokasi pada video berkenaan.

Namun saksi mengakui beliau tidak menjalankan siasatan sedemikian.

Pengakuan itu kemudian dijadikan antara asas hujahan pembelaan untuk mempersoalkan konteks sebenar rakaman yang diperoleh daripada platform media sosial berkenaan.

Amer Hamzah berhujah tanpa siasatan terhadap perkara tersebut, sukar untuk memastikan sama ada kandungan video itu dipetik secara lengkap atau telah ditokok tambah melalui elemen seperti kapsyen dan tanda pagar.

Beliau turut membangkitkan kemungkinan manipulasi teknologi sekiranya ketulenan rakaman tidak disahkan secara menyeluruh termasuk potensi penggunaan kecerdasan buatan (AI).

Walaupun begitu, saksi tidak bersetuju dengan cadangan  platform TikTok tidak boleh dianggap sebagai sumber bukti yang boleh dipercayai.

Ketika itu juga, Ketua Pasukan Pendakwaan, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin menegaskan, pihaknya tidak bergantung kepada rakaman TikTok semata-mata dalam kes berkenaan.

Menurutnya, pembelaan masih mempunyai ruang untuk mencabar keterangan saksi tersebut dalam proses perbicaraan.

Dalam pada itu, hakim turut bertanyakan kepada pasukan pendakwaan bila beliau sendiri boleh melihat rakaman tersebut memandangkan pendakwaan mengambil masa begitu lama dalam menyoal tentang bagaimana rakaman video itu diperoleh saksi.

Muhyiddin yang ketika kejadian memegang jawatan Perdana Menteri dan Presiden Bersatu sedang berdepan dakwaan empat pertuduhan menggunakan kedudukan untuk memperoleh suapan berjumlah RM232.5 juta berkaitan Projek Jana Wibawa daripada tiga syarikat.

Tiga syarikat itu ialah Bukhary Equity Sdn Bhd, Nepturis Sdn Bhd dan Mamfor Sdn Bhd serta Datuk Azman Yusoff bagi parti berkenaan.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra di Putrajaya antara 1 Mac 2020 dan 20 Ogos 2021.

Ahli Parlimen Pagoh itu didakwa mengikut Seksyen 23(1) Akta SPRM 2009 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama yang jika sabit memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan, atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Beliau juga berdepan tiga pertuduhan menerima wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM200 juta daripada Bukhary Equity Sdn Bhd yang dimasukkan ke akaun Ambank dan CIMB Bank milik Bersatu di cawangan bank berkenaan di Petaling Jaya dan Kuala Lumpur antara Februari 2021 dan Julai 2022.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 4(1)(b) dibaca bersama Seksyen 87(1) AMLATFPUAA 2001 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama, membawa hukuman penjara maksimum 15 tahun dan juga boleh didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast