TANGKAP layar video tular yang memaparkan seekor harimau belang muncul di kawasan semak berhampiran Kampung Rahmat, Sri Lalang, Kluang, Johor.

KLUANG – Tular rakaman video memaparkan seekor harimau belang muncul di kawasan semak berhampiran Kampung Rahmat, Sri Lalang di sini, yang mencetuskan kebimbangan penduduk.

Menerusi video berdurasi satu minit 36 saat itu, harimau tersebut dilihat bergerak perlahan di kawasan semak.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Ling Tian Soon berkata, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Johor yang menerima laporan berhubung insiden itu sudah melakukan siasatan di lokasi.

“Bagi mereka yang ternampak hidupan liar, jangan cuba mendekati atau mengganggu haiwan tersebut kerana boleh membahayakan diri.

“Sila kekal menjauhi kawasan berkenaan dan buat laporan segera kepada polis atau Perhilitan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Rakaman video itu juga menimbulkan pelbagai reaksi dalam media sosial dengan ramai pengguna berkongsi rasa terkejut dan cemas.

Rata-rata mereka berharap pihak berkuasa segera mengambil tindakan bagi mengelak kejadian tidak diingini kepada penduduk selain meminta mereka yang menggunakan laluan di situ lebih berhati-hati.- MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast