Foto: FB Dr Radzi Jidin

KUALA LUMPUR – Kepimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) telah membuat pertimbangan dan bersetuju melantik barisan kepimpinan baharu, melibatkan Ketua Bahagian (Penaja), Timbalan Ketua Bahagian (Penaja) dan Naib Ketua Bahagian (Penaja) di Bahagian Masjid Tanah, Alor Gajah, Tangga Batu, Hang Tuah Jaya dan Jasin.

Naib Presiden Bersatu, Datuk Dr Radzi Md Jidin berkata, pelantikan itu adalah berdasarkan penelitian menyeluruh dengan mengambil kira pengalaman, daya kepimpinan dan sumbangan khidmat masyarakat.

Menurutnya, dengan pelantikan itu, komposisi barisan kepimpinan Bersatu di peringkat Bahagian diperkukuhkan lagi melalui gabungan pemimpin berpengalaman, tokoh muda, golongan profesional serta aktivis masyarakat yang mencurah bakti berkhidmat di lapangan.

Tambah beliau, gabungan pelbagai pengalaman dan kepakaran untuk menerajui Bahagian akan memastikan Bersatu dapat terus meraih kepercayaan masyarakat melalui pendekatan yang lebih segar, memahami denyut nadi rakyat dan memperjuangkan agenda demi kesejahteraan rakyat, khususnya di Melaka.

“Bersatu Melaka kini perlu bersiap siaga mendepani pelbagai cabaran politik semasa, selain memberikan tumpuan kepada usaha memperkemas organisasi parti serta memperkukuh jentera parti di semua peringkat sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) dan Pilihan Raya Umum (PRU),” katanya yang turut menjalankan tanggungjawab Timbalan Presiden Bersatu dalam satu kenyataan malam ini.

Pada masa sama, tambah beliau, pelantikan itu juga diyakini dapat memperkukuhkan lagi kerjasama antara Bersatu dengan parti-parti komponen dalam Perikatan Nasional (PN) menerusi langkah strategik gerak kerja politik dan memberikan khidmat kepada rakyat secara lebih tersusun, teratur dan berkesan.

Sehubungan itu, beliau menyeru agar seluruh ahli Bersatu Melaka dapat memberikan sokongan dan dukungan sepenuhnya kepada kepimpinan baharu dalam usaha memperkukuh tadbir urus organisasi parti.

“Sesungguhnya, kekuatan Bersatu bergantung kepada kesatuan saf dan kesediaan semua ahli untuk bergerak sebagai satu pasukan demi memperjuangkan kepentingan rakyat,” katanya yang juga Ketua Badan Pimpinan Bersatu Negeri Melaka. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast