KLUANG – Cahaya daripada 70 pelita yang dipasang seakan ‘menari’ melengguk ke kiri dan ke kanan apabila ditiup angin semasa masuk di pintu gerbang Kampung Sri Lambak di sini pada waktu malam.
Ini ditambah dengan pemasangan lebih 100 meter lampu berwarna-warni menghiasi di jalan utama berkenaan, sekali gus menghadirkan satu suasana keindahan semula jadi di desa.
Semua kreativiti tersebut adalah hasil usaha kumpulan Belia Pemuda kampung berkenaan sempena minggu terakhir Ramadan yang bakal menjelang.
Menurut Ketua Kampung Sri Lambak, Norzam Mohd Amin, keindahan di pintu gerbang yang disulami pelita dan lampu berwarna-warni itu adalah usaha pihaknya bagi menyemarakkan lagi sambutan Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi.
Jelasnya, kampung berkenaan yang merupakan salah satu penempatan di mana penduduknya tidak pulang ke mana-mana destinasi ketika sambutan lebaran sebaliknya akan menyambut kepulangan anak rantau.
Katanya, untuk menjayakan rancangan itu, Ketua Belia Pemuda Kampung Sri Lambak, Danial Bahrom, 36, dilantik sebagai peneraju dan hanya menggunakan kutipan dana daripada penduduk kampung untuk melaksanakannya.
“Alhamdulilah, apa yang dirancang sebelum ini telah menjadi kenyataan dan ia akan dipasang sepanjang bulan Ramadan dan Syawal nanti agar keceriaan kampung khususnya pada waktu malam sentiasa terserlah di kampung ini.
“Sikap kerjasama golongan pemuda di kampung ini amat dikagumi, walaupun bukan dalam jumlah yang ramai, namun kegigihan untuk menghiasi kampung dengan pelita raya dapat dilaksanakan dengan jayanya,” katanya ketika ditemui malam tadi.
Sementara itu, Danial berkata, setiap hari beberapa anak muda kampung itu ditugaskan untuk memastikan pelita mempunyai minyak yang cukup bagi membolehkannya dinyalakan sepanjang malam.
Ujarnya, mereka menggunakan minyak diesel sebagai bahan api manakala lampu berwarna-warni yang dipasang di pintu gerbang menggunakan tenaga elektrik dari Balai Aktiviti Kampung.
“Pelita dan lampu berwarna-warni ini dicadangkan akan dipasang sepanjang tahun mengikut sambutan khususnya seperti Ramadan, Syawal dan Aidiladha.
“Sumbangan daripada penduduk kampung amat menggalakkan dan ia akan digunakan sebaiknya untuk keceriaan Kampung Sri Lambak ini,” katanya.- MalaysiaGazette
















