SHAH ALAM – Seorang ahli perniagaan didakwa di Mahkamah Sesyen hari ini kerana memberi suapan berjumlah RM5,000 kepada pegawai penguat kuasa bagi melindungi kilang pemprosesan sisa elektronik (e-sisa).
Tertuduh, Goh Chin San, selaku pengarah urusan syarikat kilang e-sisa bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Awang Kerisnada Awang Mahmud.
Mengikut pertuduhan, Chin San, 52, memberikan suapan wang tunai berjumlah RM5,000 kepada Pegawai Kawalan Kanan Alam Sekitar di Jabatan Alam Sekitar, Putrajaya.
Kesalahan itu dilakukan di bahu jalan dekat kilang e-sisa milik tertuduh di Kuala Selangor kira-kira 1.15 tengah hari pada 22 Mei 2025.
Suapan itu sebagai dorongan kepada penjawat awam itu untuk tidak mengambil tindakan undang-undang terhadap tertuduh kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 [Akta 127].
Antara kesalahan tertuduh ialah tidak mempunyai lesen premis ditetapkan, tiada kebenaran bertulis daripada Ketua Pengarah, tiada kelulusan Laporan Environment Impact Assessment (EIA) dan larangan menempatkan buangan terjadual di premis yang tidak ditetapkan.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 [Akta 694] yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) Akta yang sama.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum sehingga 20 tahun penjara dan didenda tidak kurang dari lima kali ganda jumlah atau nilai suapan jika dapat dinilai atau berbentuk wang, atau RM10,000 mengikut mana-mana lebih tinggi.
Prosiding hari ini dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Arif Asyraf Mohd Khairi, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Terdahulu pihak pendakwaan mencadangkan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin warganegara tempatan dan menyerahkan pasport kepada mahkamah.
Selain itu, pihak pendakwaan juga mencadangkan syarat tambahan termasuk melaporkan diri setiap bulan di pejabat SPRM Selangor dan tidak melakukan kacau ganggu terhadap saksi pendakwaan.
Tertuduh kemudian merayu agar dia diberikan jaminan paling rendah dengan mengambilkira tanggungjawab dan bebanannya ketika ini.
Tertuduh memberi alasan tiada pekerjaan, isteri tidak bekerja, menanggung seorang anak berusia enam tahun yang masih bersekolah serta perlu membiayai rawatan kanser yang dihidapi ibunya.
Sebelum mahkamah membuat keputusan, Hakim Awang Kerisnada menegur tertuduh yang memohon jumlah jaminan yang terlalu kecil iaitu sebanyak RM3,000 sambil menyifatkan ia mencerminkan tahap keseriusan kes yang dihadapi tertuduh.
Hakim Awang Kerisnada kemudiannya membenarkan jaminan RM12,000 dengan seorang penjamin dalam kalangan warga tempatan dan mesti menetap sama ada di Kuala Lumpur ataupun Selangor.
“Ibu bapa tak boleh menjadi penjamin kerana umur sudah lanjut dan boleh membebankan mereka, sejak kecil menjaga anak, sampai masuk mahkamah pun nak jamin, ini sesuatu yang memalukan,” katanya.
Hakim Awang Kerisnada turut membenarkan syarat tambahan di mana tertuduh wajib melaporkan diri di pejabat SPRM Selangor pada minggu pertama setiap bulan bermula April 2026.
Mahkamah juga mengarahkan tertuduh menyerahkan pasport dan tidak melakukan kacau ganggu terhadap saksi pendakwaan sama ada secara langsung ataupun melalui pihak ketiga.
Mahkamah turut menetapkan 13 Mei ini sebagai tarikh pengurusan dan sebutan kes tersebut. – MalaysiaGazette
















