Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin bercakap pada sidang media khas di Pusat Konvensyen MPAJ, Hulu Kelang. Foto AIZAT ZAINAL, 10 MAC 2026.

HULU KELANG – Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan parti itu tidak pernah beroperasi sebagai parti yang dipenuhi ‘pak turut’ atau ‘yes man’ kepada beliau selaku presiden.

Sebaliknya, beliau berkata, Bersatu memberi ruang kepada ahli untuk menyuarakan pandangan masing-masing selagi ia dilakukan mengikut peraturan dan perlembagaan parti.

Menurutnya, budaya demokrasi sememangnya wujud dalam parti itu malah kadangkala terlalu terbuka sehingga ada ahli yang bertindak melampaui batas disiplin parti.

“Saya melihat Bersatu sebagai parti yang sangat demokratik. Kadang-kadang terlalu banyak demokrasi sehingga ada yang bertindak melanggar peraturan parti sesuka hati,” katanya pada sidang penyerahan watikah dan majlis Iftar Bersatu di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Naib Presiden Bersatu, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee yang mempersoalkan tindakan disiplin terhadap beberapa pemimpin parti.

Muhyiddin menjelaskan, sebarang tindakan terhadap ahli yang didapati melanggar peraturan bukan dibuat secara semberono sebaliknya melalui proses yang dikendalikan oleh Lembaga Disiplin parti.

Katanya, setiap kes akan diteliti berdasarkan laporan yang lengkap sebelum keputusan dibuat.

“Individu yang terlibat juga diberi peluang untuk memberi penjelasan dan membela diri sebelum lembaga membuat sebarang keputusan,” ujarnya.

Menurut Muhyiddin lagi, keputusan berkaitan penggantungan atau penamatan keahlian bukan ditentukan oleh presiden parti sebaliknya berada di bawah bidang kuasa Lembaga Disiplin.

Beliau menegaskan, badan itu berfungsi secara bebas berdasarkan peruntukan yang terkandung dalam perlembagaan parti.

“Perkara seperti menggantung atau menamatkan keahlian bukan tugas presiden. Ia diputuskan oleh Lembaga Disiplin selepas menilai laporan dan fakta yang dikemukakan,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, parti tidak boleh berkompromi sekiranya terdapat ahli yang melanggar peraturan atau perlembagaan yang telah dipersetujui bersama.

Sementara itu, Ronald Kiandee sebelum ini memaklumkan beliau digantung keahlian daripada Bersatu selama dua penggal pilihan raya berkuat kuasa serta-merta kerana didapati melanggar Fasal 9.1.4 Perlembagaan parti serta kod etika dan tata kelakuan ahli.

Beliau turut mempersoalkan tindakan itu dan mendakwa keputusan berkenaan menguatkan persepsi Lembaga Disiplin parti digunakan bagi melindungi kepimpinan tertentu dalam parti. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast