Bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hadir bagi perbicaraan pertuduhan salah guna kedudukan melibatkan suapan RM232.5 juta dan menerima wang RM200 juta hasil aktiviti haram ketika di Mahkamah Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 09 MAC 2026. (GAMBAR FAIL)

KUALA LUMPUR – Pengurus Bank CIMB yang sedang memberi keterangan dalam perbicaraan rasuah bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini beliau tidak mengetahui tindakan lanjut Bank Negara Malaysia terhadap laporan transaksi mencurigakan (STR) yang dihantar oleh pihaknya.

Saksi pendakwaan kedua, Lee Hui Nee turut mengakui sepanjang siasatan dijalankan, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak pernah meminta laporan STR berkaitan akaun Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) daripadanya.

Perkara itu dimaklumkan ketika beliau disoal balas peguam bela, Datuk Amer Hamzah Arshad pada prosiding di hadapan Hakim Noor Ruwena Md Nurdin di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.

Hui Nee menjelaskan sekiranya bank mengesan transaksi melibatkan jumlah besar atau mencurigakan, pihak bank akan menyediakan Suspicious Transaction Report (STR) sebelum dihantar kepada Bank Negara Malaysia (BNM) untuk penelitian lanjut.

“Sekiranya terdapat transaksi besar atau mencurigakan, kami akan menyediakan STR dan menghantarnya kepada Bank Negara,” ujarnya

Bagaimanapun, beliau berkata pihak bank tidak mengetahui tindakan lanjut yang diambil oleh BNM selepas laporan tersebut dihantar kerana peranan bank hanya terhad kepada menyediakan laporan.

Terdahulu ketika memberi keterangan kepada mahkamah, Hui Nee mengesahkan terdapat 28 transaksi berjumlah kira-kira RM19.3 juta dimasukkan ke dalam akaun CIMB milik Bersatu antara Ogos 2021 hingga November 2022.

Beliau turut menjelaskan transaksi yang dirujuk mahkamah berlaku antara 2021 hingga 11 November 2022.

Namun ketika disoal lanjut oleh pihak pembelaan, saksi mengakui beliau tidak mempunyai pengetahuan peribadi mengenai transaksi awal akaun tersebut kerana hanya mula bertugas di cawangan Menara CIMB KL Sentral pada 1 Januari 2022.

Beliau juga mengesahkan dirinya bukan individu yang bertanggungjawab membuka akaun Bersatu dan tidak diminta mengenali mana-mana pegawai bank yang terlibat dalam proses pembukaan akaun berkenaan.

Mahkamah turut dimaklumkan semua urusan berkaitan laporan STR dan pematuhan dasar anti pengubahan wang haram diuruskan oleh pegawai pematuhan bank di peringkat ibu pejabat.

Menurutnya, CIMB mempunyai Pegawai Pematuhan dikenali sebagai Kwan Keen Yew, manakala Chung Lai Yoke bertindak sebagai Pegawai Pematuhan Dilantik (DeCoro) di cawangan KL Sentral bagi tahun 2021 dan 2022.

Beliau turut menjelaskan bank dikehendaki menyimpan semua rekod termasuk laporan STR sekurang-kurangnya enam tahun selaras dengan peraturan Bank Negara Malaysia.

Mahkamah sebelum itu turut dimaklumkan bahawa pada 1 Disember 2020, pemegang akaun berkenaan telah ditukar kepada empat individu iaitu Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, Datuk Seri Hamzah Zainudin dan Datuk Mohamed Salleh Bajuri.

Muhyiddin, yang ketika kejadian merupakan Perdana Menteri dan Presiden Bersatu, sedang dibicarakan atas empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM232.5 juta berkaitan Projek Jana Wibawa daripada tiga syarikat.

Tiga syarikat terbabit ialah Bukhary Equity Sdn Bhd, Nepturis Sdn Bhd dan Mamfor Sdn Bhd, selain seorang individu, Datuk Azman Yusoff.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra, Putrajaya antara 1 Mac 2020 hingga 20 Ogos 2021.

Ahli Parlimen Pagoh itu didakwa mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah suapan atau RM10,000 jika sabit kesalahan.

Beliau juga berdepan tiga pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan jumlah RM200 juta mengikut Seksyen 4(1)(b) dibaca bersama Seksyen 87(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA). -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast