JOHOR BAHRU – Bekas Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Pembangunan Luar Bandar Johor, Dzulkefly Ahmad mempersoalkan kenyataan 17 pusat data di Johor yang hanya menggunakan 1 peratus daripada jumlah keseluruhan air terawat di negeri ini.
Dzulkefly yang juga Timbalan Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Johor berkata, kenyataan Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Johor, Mohamad Fazli Mohamad Salleh itu dianggap mengelirukan.
“Kenyataan YB Exco Kerja Raya itu dilakukan melalui Podcast Meh Dengo Jap pada 28 Februari lalu. YB Exco sepatutnya perlu lebih bertanggunjawab dan telus dalam membuat kenyataan. Bunyinya macam ‘everything is ok’ atau ‘everything is under control’. Betul ke begitu?
“Menurut website Ranhill SAJ, jumlah air terawat daripada 47 loji rawatan air (LRA) di Johor adalah 2,351 MLD. 1 peratus adalah bersamaan 23.51 MLD. Sepatutnya YB Exco perlu terlebih dahulu menyatakan apakah kategori 17 pusat data tersebut sama ada Tahap 1, 2, 3 atau 4.
“Ini kerana pusat data Tahap 1 dan 2 menggunakan 50 MLD air terawat manakala Tahap 3 dan 4 menggunakan 0.2 MLD.
“Kiraan saya kalau semua 17 pusat data tersebut Kategori 1 atau 2, maka jumlah air terawat yang diperlukan adalah 850 MLD. Jadi YB Exco perlu memberikan penerangan yang telus tentang perkara ini kepada rakyat Johor,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berpandangan, Mohamad Fazli terkhilaf dalam membandingkan keperluan air terawat 17 pusat data dengan penawaran air terawat seluruh Johor.
Jelasnya, ia kerana daripada semakan dilakukan semua 17 pusat data itu terletak di Sedenak Tech Park (STeP), Ibrahim Technopolis (IBTEC), YTL Green DC Park, Nusajaya Tech Park, SILC Tech Park atau Zon Industri Pasir Gudang.
Kesemua lokasi pusat data utama itu katanya, berada dalam kawasan The Greater Johor Bahru yang meliputi daerah Johor Bahru dan Kulai.
Sepatutnya Mohamad Fazli katanya, hanya membandingkan keperluan air terawat daripada 17 pusat data itu dengan penawaran air terawat dalam kawasan The Greater Johor Bahru sahaja dan bukanya penawaran air terawat dari seluruh negeri.
The Greater Johor Bahru ujar beliau, sekarang mempunyai bekalan air terawat sebanyak 1,274.1 MLD dengan penggunaan (consumption) semasa 1,129 MLD dengan margin simpan sebanyak 145 MLD (11.4 peratus).
“Analisa Ranhill SAJ menunjukkan permintaan air terawat di The Greater Johor Bahru akan meningkat kepada 1,600 MLD menjelang 2030 iaitu sekarang penawaran air terawat adalah 1,274.1 MLD.
“Jika melihat kepada angka ini penduduk di Johor Bahru dan Kulai perlu mula merasa ‘bimbang’. Sepatutnya YB Exco perlu menerangkan apakah pelan tindakan pengurusan air terawat di The Greater Johor Baharu bagi mengatasi kekurangan air terawat ini kepada rakyat Johor paling tidak sehingga 2030,” katanya.
Menurutnya, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz ada menyatakan bahawa pelaburan pusat data di Johor sebanyak RM164.45 Bilion akan mewujudkan 6,000 peluang pekerjaan berkualiti kepada anak Johor.
“Saya yakin YB Exco Kerja Raya boleh berkongsi dengan rakyat Johor daripada 17 pusat data yang telah beroperasi ini berapakah peluang pekerjaan berkualiti yang telah diwujudkan,” soalnya.- MalaysiaGazette
















