JOHOR BAHRU – Bantuan Kasih Johor (BKJ) yang merupakan inisiatif kerajaan negeri perlu diteruskan dalam usaha menyantuni keperluan dan meringankan beban rakyat mendepani kos sara hidup.
Presiden Persatuan Pemuda Puteri Malaysia Bersatu (Perimau), Mohd Ridhwan Othman berkata, pemberian bantuan itu menunjukkan kejayaan besar kerajaan Johor dalam hasil ekonomi Johor yang berdaya saing dan pelaburan tinggi.
“Diharap program seperti ini dapat diteruskan secara tradisi demi kebajikan warga Johor termasuk penjawat awam persekutuan yang berkhidmat di negara ini.
“Bantuan yang disampaikan ini dapat memberi sedikit kelegaan serta manfaat kepada seluruh penerima terutama menjelang Hari Raya Aidilfitri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menerusi Belanjawan Johor 2026 kerajaan negeri memperuntukkan hampir RM170 juta khusus bagi inisiatif BKJ yang merangkumi 23 kategori bagi membantu kebajikan pelbagai golongan rakyat Johor.
Ini melibatkan pelajar, veteran tentera, sukarelawan, ibu tunggal, pekerja pembersihan, orang kurang upaya (OKU), warga emas, media dan pelbagai golongan lain yang memerlukan.
BKJ dilaksanakan sebagai komitmen berterusan kerajaan negeri untuk menyalurkan hasil negeri secara adil, menyeluruh dan berfokus, demi kesejahteraan Bangsa Johor.- MalaysiaGazette
















