Dr Wan Martina Wan Yusoff.

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan (KKM) dan Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) digesa menjalankan siasatan menyeluruh dan telus berhubung kejadian seorang doktor pelatih yang ditemukan maut di asrama Hospital Sultan Ismail Petra (HSIP), Jumaat lalu.

Ahli Dewan Negara, Dr Wan Martina Wan Yusoff berkata, siasatan itu perlu turut melihat kepada unsur tekanan kerja dan kemungkinan berlakunya budaya buli.

Menurut beliau, walaupun laporan awal polis menyatakan tiada unsur jenayah, namun faktor-faktor penyumbang yang mungkin membawa kepada tragedi itu tidak boleh dipandang enteng.

Tambahnya, sebagai seorang yang faham akan selok-belok dunia perubatan, beliau berkongsi beberapa kegusaran utama berhubung tragedi itu antaranya kemungkinan tekanan kerja yang melampau.

“Beban kerja yang tidak munasabah serta waktu bekerja yang terlalu panjang sering menjadi punca utama keletihan mental dan fizikal dalam kalangan doktor pelatih.

“Adakah sistem penggiliran tugas di HSIP dipantau dengan sebaiknya?” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, beliau menegaskan bahawa budaya buli tidak boleh dinafikan masih menjadi `barah’ yang tersembunyi dalam sistem latihan perubatan.

Sehubungan itu, beliau mendesak agar jawatankuasa siasatan yang ditubuhkan kelak melihat secara terperinci rekod kerja mangsa dan mendapatkan testimoni daripada rakan sejawat bagi memastikan tiada unsur intimidasi atau gangguan mental yang berlaku terhadap mangsa.

Dalam masa sama, beliau menyifatkan tragedi itu sebagai loceng amaran (wake up call) bahawa sistem sokongan kesihatan mental untuk pegawai perubatan muda perlu diperkasakan serta-merta tanpa sebarang stigma.

Tambah Dr Wan Martina, beliau turut memohon agar dapatan jawatankuasa siasatan khas nanti didedahkan secara telus kepada umum agar langkah pencegahan dapat diambil bagi mengelakkan kejadian serupa berulang pada masa hadapan.

“Jangan biarkan impian anak muda yang ingin berbakti kepada masyarakat terkubur akibat kelemahan sistem yang gagal melindungi kebajikan dan kesihatan mental mereka,” katanya.

Jumaat lalu, seorang doktor pelatih berusia 29 tahun ditemukan maut di bilik air bangunan asrama HSIP, Kuala Krai, Kelantan.

Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Superintenden Mazlan Mamat berkata, punca kematian adalah disebabkan oleh tekanan pada leher dan kes disiasat sebagai laporan mati mengejut. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast