JOHOR BAHRU – Malaysia tidak boleh dibiarkan menjadi medan permainan ejen provokasi dan golongan ekstremis.
Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Johor, Faezuddin Puad berkata, rakyat mesti bersatu menolak kebencian, menolak politik perpecahan dan bersama-sama mempertahankan keamanan serta keharmonian negara.
“Dalam suasana dunia yang semakin mencabar, keutamaan kita sepatutnya ialah memperkukuh perpaduan, membina kekuatan ekonomi dan menjamin kesejahteraan seluruh rakyat tanpa mengira kaum dan agama.
“Semua pihak mesti berhenti menyebarkan kebencian dan berhenti mengeruhkan hubungan dalam masyarakat majmuk negara ini,” katanya dalam kenyataan.
Peningkatan isu kaum, agama dan institusi diraja (3R) berlaku kebelakangan ini dengan yang terbaharu membabitkan insiden pembakaran tiga kenderaan milik seorang aktivis dikenali Cikgu Chandra pagi tadi.
Sebelum ini, rumah Cikgu Chandra atau nama sebenarnya S Chandrasegaran, 47, di Puchong didakwa diserang sekumpulan lelaki yang memecahkan cermin kereta serta tingkap kediamannya.
Serangan ini berlaku hanya beberapa hari selepas seorang pendakwah bebas terkenal, Zamri Vinoth, diserang sekumpulan lelaki ketika berada dalam keretanya.
Mengulas lanjut, Faezuddin berkata, AMK Johor menggesa Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengambil tindakan segera, tegas dan tanpa kompromi terhadap mana-mana pihak yang terlibat dalam unsur pelampauan agama dan perkauman.
Tindakan tegas katanya, wajib diambil terhadap sebarang bentuk penghinaan, provokasi, ugutan atau tindakan keganasan yang menyentuh sensitiviti agama dan kaum.
“Sama ada melibatkan penghinaan terhadap al-Quran, simbol agama lain, cubaan mencetuskan ketegangan, perbuatan khianat atau tindakan membakar harta benda, semuanya wajib disiasat dan dikenakan tindakan undang-undang yang setimpal tanpa memilih bulu,” tambahnya.- MalaysiaGazette
















