MELAKA – Tidak sampai dua minggu tragedi kemalangan maut membabitkan tiga pelajar sekolah, dua pelajar tingkatan tiga antara tujuh individu dicekup polis kerana dipercayai berlumba dalam Operasi Samseng Jalanan di Jalan Sungai Udang, di sini semalam.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Melaka, Superintendan Muhammad Zaki Ramat berkata, semua yang ditahan berusia antara 15 dan 30 tahun dalam operasi bermula jam 2 pagi itu.
“Mereka dipercayai melakukan kesalahan jalan raya termasuk menunggang motosikal secara melulu yang berbahaya.
“Susulan itu, polis mengeluarkan 376 saman atas pelbagai kesalahan trafik selain menyita 50 motosikal untuk tindakan lanjut mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Menurutnya, ibu bapa perlu sentiasa memantau pergerakan anak-anak, terutama mereka yang masih bersekolah supaya tidak terbabit dengan aktiviti tidak sihat itu.
“Kita juga telah menasihati remaja supaya tidak terbabit dalam aktiviti samseng jalanan yang boleh membahayakan diri serta pengguna jalan raya lain,” tambahnya.

Muhammad Zaki berkata, dalam operasi itu sebanyak 172 kenderaan diperiksa membabitkan 187 individu berusia antara 15 hingga 30 tahun.
Menurutnya, kesalahan paling tinggi direkodkan ialah tiada nombor pendaftaran motosikal (68); gagal mematuhi arahan (51); diikuti melanggar lampu isyarat merah (50) selain tiada cermin sisi (33).
Terdahulu, tragedi kemalangan maut membabitkan tiga pelajar sekolah di Jalan Tambak Paya, Ayer Molek pada 1 Mac lalu mencetuskan kebimbangan apabila kegiatan lumba haram terus membabitkan remaja.
Dalam kejadian kira-kira jam 4.02 pagi itu, dua pelajar lelaki berusia 15 dan 16 tahun serta seorang pelajar perempuan berumur 16 tahun maut di lokasi selepas motosikal dinaiki mereka bertembung dalam kemalangan membabitkan tiga motosikal. – MalaysiaGazette
















