RIYADH – Arab Saudi berkata ia berjaya memintas tujuh peluru berpandu balistik pada Rabu, dalam serangan berasingan yang menyasarkan sebuah pangkalan udara dan wilayah timurnya, ketika Iran memperbaharui serangan terhadap negara jiran di Teluk.

“Enam peluru berpandu balistik yang dilancarkan ke arah Pangkalan Udara Prince Sultan telah dipintas dan dimusnahkan,” kata Kementerian Pertahanan Arab Saudi dalam hantaran di X.

Dalam hantaran berasingan, ia berkata, satu lagi peluru berpandu balistik yang dilancarkan “ke arah wilayah timur” turut berjaya dipintas.

Pangkalan Udara Prince Sultan yang terletak di wilayah Al Kharj merupakan lokasi seorang askar Amerika Syarikat mengalami kecederaan dalam serangan pada 1 Mac sebelum meninggal dunia seminggu kemudian.

Pasukan pertahanan Arab Saudi itu juga memintas gelombang tujuh dron, termasuk lima yang dimusnahkan di timur wilayah Al Kharj, kata kementerian tersebut dalam beberapa ciapan berasingan.

Pengawal Revolusi Iran berkata pada Selasa mengumumkan mereka melancarkan satu lagi gelombang peluru berpandu ke arah bandar-bandar Israel termasuk Tel Aviv serta sasaran Amerika Syarikat di rantau itu, ketika pertempuran antara musuh tersebut tidak menunjukkan tanda-tanda akan reda.

Pasukan elit itu kemudian berkata ia menyasarkan pangkalan tentera Amerika Syarikat di Bahrain dan Kurdistan Iraq, menurut laporan media Iran awal pagi Rabu.

Dalam satu kenyataan yang disiarkan oleh agensi berita Tasnim, Pengawal Revolusi berkata “sejumlah besar” peluru berpandu balistik telah ditembak ke arah pangkalan Armada Kelima Tentera Laut Amerika Syarikat di Bahrain serta tiga lagi kemudahan di wilayah Kurdistan Iraq.

Bahrain telah menjadi sasaran gelombang dron dan peluru berpandu Iran, yang setakat ini telah mengorbankan dua orang di negara itu, menurut pihak berkuasa. -AFP

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast