Mohd Hisyam Che Husin

JOHOR BAHRU – Kebajikan guru agama di negeri in perlu diperkukuh melalui dasar yang menyeluruh melibatkan gaji, elaun dan laluan kerjaya lebih adil serta mampan.

Ahli Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Johor, Mohd Hisyam Che Husin berkata, ini kerana wujud perbezaan gaji ketara antara guru sekolah agama Johor dengan guru agama di sekolah kebangsaan.

Jelasnya, guru sekolah agama negeri dibayar oleh kerajaan negeri manakala guru agama di sekolah kebangsaan dibayar oleh kerajaan Persekutuan.

“Perbezaan struktur pentadbiran berkenaan mewujudkan jurang yang ketara daripada segi gaji, elaun serta peluang kenaikan pangkat serta jaminan kebajikan.

“Sehubungan itu, Pejuang Johor berpandangan bahawa kerajaan negeri perlu merangka dasar penyelarasan yang lebih komprehensif supaya guru sekolah agama negeri tidak terus ketinggalan,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, antara langkah yang boleh dipertimbangkan adalah memberikan peluang kepada guru sekolah agama untuk meningkatkan kelayakan profesional mereka.

Jika kelayakan seperti diploma pendidikan atau latihan perguruan diperlukan katanya, kerajaan negeri wajar menyediakan bantuan kewangan, pelepasan masa serta sokongan institusi supaya mereka dapat melanjutkan pengajian dan seterusnya melayakkan diri menerima tangga gaji yang setara dengan guru kebangsaan.

Pada masa yang sama katanya, perhatian juga perlu diberikan kepada staf sokongan di sekolah agama seperti tukang kebun, pengawal keselamatan dan pekerja am.

Mereka katanya, turut memainkan peranan penting dalam memastikan operasi sekolah berjalan dengan baik dan kebajikan mereka tidak seharusnya dipinggirkan.

“Guru agama sering dikaitkan dengan semangat berkhidmat secara fi sabilillah.

“Walau bagaimanapun, semangat pengorbanan semata-mata tidak cukup untuk menampung keperluan hidup pada ketika kos sara hidup di Johor semakin meningkat akibat arus pembangunan yang pesat,” katanya.

Justeru katanya, Pejuang Johor menegaskan bahawa kebajikan guru agama perlu diperkukuh dan bukan sekadar bantuan sementara.

Pejuang Johor mengambil maklum pengumuman kerajaan negeri berhubung kenaikan elaun guru Kelas Al-Quran dan Fardhu Ain (KAFA) sebanyak RM150 sebulan, daripada RM1,612 kepada RM1,762 yang melibatkan lebih 2,150 guru dengan tambahan peruntukan RM5.92 juta.

Di samping itu ujar beliau, pemberian Bantuan Kasih Johor (BKJ) secara one-off sebanyak RM2,000 serta bantuan RM1,500 sempena Hari Raya Aidilfitri juga dilihat sebagai langkah membantu meringankan beban kewangan para guru KAFA.

Pejuang Johor menghargai usaha itu sebagai satu langkah positif namun begitu, bantuan berbentuk sementara tidak menyelesaikan isu asas yang sudah sekian lama membelenggu tenaga pengajar sekolah agama iaitu jurang gaji dan kebajikan guru sekolah agama negeri.

Tambah beliau, pihaknya percaya bahawa usaha memartabatkan kebajikan guru agama merupakan satu pelaburan penting dalam membina generasi yang berilmu, berakhlak dan berpegang teguh kepada nilai-nilai Islam.

“Guru agama mendidik generasi masa depan negeri. Maka kebajikan mereka juga mesti dijaga dengan sewajarnya,” katanya.- MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast