Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali bercakap dalam sidang media pada Program Ronda Ramadan Ihsan Food Bank (i-FB) di Hotel Seri Pacific, di sini hari ini.

KUALA LUMPUR –  Satu jawatankuasa khas berkaitan pemantauan barang kawalan telah diaktifkan selepas mesyuarat jemaah menteri yang berlangsung hari ini susulan konflik di Asia Barat.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, jawatankuasa khas itu akan mula bermesyuarat pada Isnin ini yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri II, Datuk Seri Fadillah Yusof.

Jawatankuasa itu bagi merangka pendekatan lebih bersepadu  dalam usaha mengekang risiko penyeludupan dan penyelewangan di Sabah dan Sarawak.

“Kita aktifkan jawatankuasa ini yang mana sasarannya berkait penyeludupan bukan hanya tugas Kementerian Dalam Negeri (KPDN) sahaja tapi turut  berlaku di sempadan yang menjadi tanggungjawab Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS), contohnya di perairan negara.

“Kita juga akan mencari pendekatan dan strategi bagi mengekang penyeludupan diluar sempadan untuk memastikan subsidi dapat dimanfaatkan oleh rakyat kerana jumlah dan implikasinya cukup besar,” katanya dalam sidang media pada Program Ronda Ramadan Ihsan Food Bank (i-FB) di sini hari ini.

Dalam pada itu, Armizan berkata, orang ramai juga tidak perlu panik dengan bekalan bahan api negara di bawah inisiatif BUDI MADANI RON95 (BUDI95).

“Alhamdulillah, kerajaan telah memutuskan dari segi harga Budi 95 itu ditetapkan kekal RM1.99 walaupun harga RON95, RON97 dan diesel ada sedikit kenaikan mengikut harga pasaran sebenar.

“Jangan khuatir atau risau kerana ia mencukupi namun satu aspek yang kita perlu tekankan dan fokus dalam masa terdekat adalah memperkasakan penguatkuasaan.

“Kita khuatir risiko penyeludupan kerana jurang harga itu melalui Budi 95 dan sektor pengangkutan awam serta barangan, jurangnya harga industri dan jurang antra harga penjualan di stesen minyak dalam negara dengan luar negara,” ujarnya.

Bagi menangani isu itu, beliau berharap kerjasama semua pihak bukan sahaja anggota penguat kuasa di pelbagai kementerian ia termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan masyarakat setempat.

“Sekiranya melihat ada unsur-unsur penyeludupan dilakukan oleh pihak tertentu, maka bagilah laporan kepada kita untuk kita mengambil tindakan segera,” tambahnya.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan harga subsidi petrol RON95 di bawah inisiatif BUDI MADANI RON95 (BUDI95) akan dikekalkan pada paras RM1.99 seliter walaupun harga pasaran jauh lebih tinggi susulan konflik di Asia Barat.

Beliau berkata, keterjaminan bekalan minyak di Malaysia masih terkawal, dan hasil semakan dengan Petronas mendapati bekalan produk petroleum negara mencukupi sekurang-kurangnya sehingga Mei ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast