Operasi berkenaan dilaksanakan bagi memastikan persekitaran bandaraya negeri ini bersih daripada najis burung-burung berkenaan.

GEORGE TOWN – Sebanyak 1,702 ekor burung merpati dan gagak berjaya ditangkap oleh Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) sepanjang Februari lalu dalam usaha mengawal populasi burung berkenaan di kawasan bandar raya.

MBPP dalam kenyataan berkata, operasi yang dilaksanakan menerusi Jabatan Kesihatan Persekitaran itu turut memusnahkan sebanyak 254 sarang gagak dalam tempoh sama bagi memastikan persekitaran bandar kekal bersih, sihat dan bebas daripada kesan najis burung.

Menurut kenyataan itu, tindakan kawalan populasi berkenaan dilaksanakan secara berterusan terutama di kawasan bandar yang dikenal pasti sebagai lokasi tumpuan burung gagak dan merpati.

“Statistik menunjukkan jumlah tangkapan burung merpati sepanjang bulan Februari lalu adalah sebanyak 1,252 ekor dan 450 ekor burung gagak.

“Walaupun hebahan informasi mengenai larangan memberi makan kepada burung merpati telah dilaksanakan menerusi pelbagai platform, masih terdapat individu yang berdegil dan tidak menghiraukan arahan ini,” menurut kenyataan itu.

Tambah MBPP, pihaknya turut mengeluarkan sebanyak 13 kompaun terhadap individu yang memberi makanan kepada burung merpati mengikut Seksyen 47(1)(g) Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974.

“Kesalahan berkenaan membawa kompaun sebanyak RM250 bagi setiap kesalahan, selain tindakan mahkamah boleh diambil terhadap individu yang masih ingkar atau gagal menjelaskan kompaun dikenakan.

“Operasi kawalan populasi burung gagak dan merpati akan terus dilaksanakan dari semasa ke semasa berdasarkan kawasan “hotspot” yang dikenal pasti serta aduan awam yang diterima,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast