PUTRAJAYA – Malaysia tidak akan terkecuali daripada menerima tempias konflik yang sedang memuncak di Timur Tengah apabila kesannya dijangka memberi impak negatif kepada ekonomi global dalam tempoh terdekat.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, perkara itu dibangkitkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam mesyuarat Kabinet pagi tadi yang menasihatkan semua pihak supaya bersedia menghadapi kemungkinan kesan tersebut.
Menurut beliau, walaupun zon peperangan itu jauh dari Malaysia secara fizikal, kesan rantaian daripada konflik tersebut tetap akan dirasai oleh negara ini.
“Suka atau tidak, kesan peperangan yang berlaku sekarang ini akan memberi impak negatif kepada seluruh dunia termasuk negara kita,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan Perhimpunan Bulanan dan Ihya Ramadan di Kementerian Pengangkutan di sini hari ini.
Anthony menjelaskan antara kesan paling ketara ialah potensi kenaikan harga minyak dunia memandangkan rantau Timur Tengah merupakan kawasan utama pengeluar minyak global.
Katanya, konflik berkenaan boleh menjejaskan pengeluaran serta pengangkutan kargo minyak sekali gus memberi kesan kepada sektor penerbangan, perkapalan dan rantaian bekalan global.
“Kerajaan seperti diumumkan Perdana Menteri akan berusaha memastikan harga bahan api RON95 kekal stabil namun pelbagai sektor industri dijangka merasai kesannya dalam tempoh dua hingga tiga bulan akan datang,” katanya lagi.
Sehubungan itu, Kabinet bersetuju mengambil langkah awal dengan mengawal perbelanjaan yang bersifat tidak wajib termasuk tidak mengadakan majlis rasmi sambutan Hari Raya Aidilfitri peringkat kementerian tahun ini bagi menjimatkan perbelanjaan kerajaan.
Selain itu, semua lawatan rasmi ke luar negara termasuk persidangan dan lawatan kerja turut dibekukan melibatkan pegawai kerajaan serta menteri bagi memastikan dana kerajaan dapat digunakan untuk keperluan yang lebih mendesak.
Beliau bagaimanapun menegaskan, langkah tersebut bukan langkah penjimatan ketat kerana perbelanjaan kerajaan untuk projek pembangunan, bantuan rakyat dan inisiatif sosioekonomi tetap diteruskan seperti biasa,
Beliau turut berkata, perincian langkah ekonomi yang lebih besar akan dibincangkan dalam mesyuarat khas Kabinet pada Jumaat ini. – MalaysiaGazette
















