KUALA LUMPUR – Seramai lima individu hari ini melaksanakan Perintah Khidmat Masyarakat (PKM) di Segitiga Bersejarah, Jalan Pudu St di sini, atas kesalahan membuang sisa pepejal merata-rata.
Kesemua mereka ditugaskan melaksanakan kerja-kerja pembersihan kawasan awam termasuk menyapu, mengutip sampah, membersihkan longkang serta mencuci tandas.
Kerja-kerja PKM itu dilaksanakan di bawah pemantauan rapi pegawai penguat kuasa Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SWCorp, Khalid Mohamed berkata, PKM itu dilaksanakan sebagai langkah penguatkuasaan berimpak tinggi bagi membanteras kesalahan pembuangan sampah kecil di tempat awam.

Menurutnya, PKM yang merupakan hukuman tambahan bersifat restoratif dan mendidik adalah pendekatan yang beralih daripada kaedah denda kewangan semata-mata, kepada hukuman pemulihan melalui penglibatan langsung pesalah dalam kerja-kerja pembersihan komuniti.
“Pelaksanaan PKM membawa mesej pencegahan yang jelas kepada masyarakat serta bertujuan membentuk sikap tanggungjawab dan kesedaran terhadap kebersihan awam.
“Pelaksanaan hukuman ini dijalankan secara terkawal, beretika dan mematuhi prosedur undang-undang tanpa menjejaskan maruah individu yang terlibat,” katanya menerusi laman sosial Facebook SWCorp Wilayah Persekutuan hari ini.
Tambah beliau, pelaksanaan PKM itu merupakan sebahagian daripada komitmen berterusan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) melalui SWCorp dalam memperkukuh tadbir urus pengurusan sisa pepejal negara.
Dalam masa sama, katanya, SWCorp akan terus melaksanakan penguatkuasaan secara konsisten dan berfokus bagi memastikan kebersihan awam sentiasa terpelihara serta memupuk budaya masyarakat yang lebih bertanggungjawab terhadap pengurusan sisa pepejal. – MalaysiaGazette

















