GEORGE TOWN – Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa orang ramai mengelakkan berada di kawasan yang sesak, tertutup serta kurang pengudaraan bagi mengurangkan risiko penularan penyakit Tuberkulosis (tibi) atau batuk kering.
Presidennya, Mohideen Abdul Kader berkata, langkah itu penting susulan kemunculan semula penyakit berjangkit berkenaan di negara ini sejak kebelakangan ini.
Beliau berkata, tibi merupakan penyakit bawaan udara yang disebabkan oleh bakteria Mycobacterium tuberculosis yang lazimnya menyerang paru-paru, namun boleh menjejaskan hampir mana-mana tisu atau organ dalam tubuh manusia.
“Apabila paru-paru dijangkiti, pesakit mungkin mengalami beberapa gejala seperti batuk dan demam berterusan, batuk berdarah, berpeluh pada waktu malam serta penurunan berat badan.
“Penyakit ini merebak melalui udara dari satu individu ke individu lain. Bakteria tibi dilepaskan ke udara apabila seseorang yang menghidap penyakit ini batuk, bercakap atau bersin.
“Bakteria tibi boleh kekal di udara selama beberapa jam bergantung kepada persekitaran dan ia lebih mudah merebak di kawasan tertutup atau ruang dengan peredaran udara yang lemah seperti dalam kenderaan tertutup berbanding di kawasan luar,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, Mohideen berkata, orang ramai digalakkan menjalani saringan awal tibi selain mengamalkan gaya hidup sihat bagi mengekalkan tahap imuniti optimum serta mencegah penularan penyakit berjangkit berkenaan.
“Batuk kering mungkin kedengaran seperti penyakit masa lalu, namun ia masih menjadi kebimbangan sebenar pada masa kini.
“Seperti pepatah lama, mencegah lebih baik daripada mengubati. Cara terbaik untuk kekal sihat adalah dengan mengelakkan diri daripada jatuh sakit,” katanya. – MalaysiaGazette
















