Mahkamah Tinggi Johor Bahru hari ini Membenarkan ikat jamin RM20,000 seorang terhadap seorang wanita dan remaja lelaki bawah umur yang didakwa menganggotai Geng Vincent.

JOHOR BAHRU – Seorang wanita dan remaja lelaki bawah umur yang didakwa menganggotai kumpulan jenayah terancang dibenarkan diikat jamin RM20,000 setiap seorang oleh Mahkamah Tinggi di sini sementara menunggu perbicaraan mereka.

Hakim Atan Mustaffa Yusoff Ahmad dalam keputusannya berkata, mahkamah membenarkan Kuek Pei Lin, 20, dan remaja berusia 17 tahun itu masing-masing diikat jamin dengan dua penjamin tempatan selepas mengambil kira pemohon tergolong di bawah kategori pengecualian termaktub Seksyen 13(2)(a) dan (b) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) (SOSMA) 2012.

Beliau berkata, peruntukan itu adalah umur di bawah 18 tahun atau wanita atau sakit dahsyat yang membenarkan mahkamah membuat pertimbangan pemohon dibebaskan dengan jaminan.

Kedua-dua mereka turut dikenakan syarat tambahan, antaranya dilarang mengganggu saksi pendakwaan, melapor diri di balai polis berhampiran setiap bulan serta menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Kedua-dua tertuduh diwakili peguam Mohd Daud Ismail dan Hang Lee Ying manakala pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Yazid Mustaqim Roslan.

Pada 12 Februari lalu, kedua-dua mereka bersama empat yang lain dihadapkan ke Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan menjadi ahli kumpulan jenayah terancang ‘Geng Vincent’.

Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di Jalan Lagenda 34, Taman Lagenda Putra, Kulai, antara Mac 2025 hingga 15 Januari 2026.

Semua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan (Akta 574) yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun, jika sabit kesalahan.

Mahkamah tidak membenarkan sebarang jaminan kepada semua tertuduh dan kes disebut semula hari ini bagi laporan forensik.

Terdahulu, Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail melaporkan, pihaknya berjaya melumpuhkan sindiket pemerasan seksual dalam talian menerusi Op Bugil pada 15 Januari lalu.

Sindiket itu menjalankan kegiatan penipuan dengan mencipta akaun media sosial palsu atau menyamar sebagai wanita untuk memperdayakan mangsa agar melakukan panggilan video lucah. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast